SHAH ALAM, 2 JULAI: Sekretariat SUKMA Selangor 2026 menerima kunjungan hormat Sekretariat SUKMA Kelantan 2028 bagi membincangkan persiapan serta perancangan penganjuran SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026.
Delegasi Selangor diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat SUKMA Selangor 2026, Dato' Mohd Yazid Sairi, bersama Ketua Pegawai Operasi (COO), Mohamad Nizam Marjugi, menurut kenyataan di Facebook SUKMA Selangor 2026.
Delegasi Kelantan pula diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat SUKMA Kelantan, Dato' Haji Azi Rahimee Mohamed.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat SUKMA Kelantan merangkap Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri, Muhammed Imran Mansoor, serta Ketua Pegawai Teknikal Sekretariat SUKMA Kelantan yang juga Pengarah Majlis Sukan Negeri Kelantan, Mohd Aman Zulkifli.
Menurut kenyataan itu, pertemuan menjadi platform bagi kedua-dua sekretariat bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta membincangkan aspek pengurusan dan penganjuran temasya sukan terbesar negara.
Kunjungan berkenaan turut memperkukuh hubungan strategik antara Selangor dan Kelantan, selain membuka ruang kepada perkongsian amalan terbaik sebagai persediaan menjayakan penganjuran SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 serta SUKMA Kelantan 2028.
SUKMA Selangor 2026 akan mempertandingkan 469 acara daripada 37 jenis sukan, manakala Para SUKMA melibatkan 316 acara merangkumi 10 jenis sukan yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 10 September depan.
Temasya edisi ke-22 itu akan menggunakan 52 venue pertandingan di sembilan daerah seluruh Selangor dengan penglibatan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan serta swasta, selain Velodrom Nasional di Negeri Sembilan.






