Aplikasi SIP, Flexi Parking kembali pulih, beroperasi seperti biasa

2 Jul 2026, 2:29 AM
Aplikasi SIP, Flexi Parking kembali pulih, beroperasi seperti biasa

SHAH ALAM, 2 JULAI: Perkhidmatan aplikasi Smart Intelligent Parking (SIP) dan Flexi Parking kembali beroperasi seperti biasa selepas gangguan teknikal yang menjejaskan urusan pembayaran parkir di Selangor sejak Selasa lalu.

Menerusi kenyataan di Facebook, kedua-dua penyedia aplikasi memaklumkan pengguna kini boleh menggunakan semula perkhidmatan berkenaan untuk membuat pembayaran parkir seperti biasa.

Smart Selangor Parking turut merakamkan penghargaan kepada pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan, selain memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku.

"Terima kasih atas kesabaran, sokongan dan kerjasama anda sepanjang tempoh gangguan perkhidmatan ini.

"Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Flexi Parking turut memohon maaf kepada pengguna dan memaklumkan mereka yang memerlukan bantuan lanjut boleh menghubungi pasukan khidmat pelanggan menerusi saluran komunikasi yang disediakan.

Sebelum ini, gangguan aplikasi berkenaan menyebabkan urusan pembayaran parkir di Selangor tidak dapat dilakukan, sekali gus mendorong Kerajaan Negeri mengarahkan supaya tiada caj parkir atau kompaun dikenakan kepada pengguna sehingga sistem kembali pulih.

Susulan insiden itu, EXCO Pembudayaan Inovasi, Dr Fahmi Ngah berkata Kerajaan Negeri turut mengarahkan audit forensik dilaksanakan terhadap pembekal sistem bagi mengenal pasti punca gangguan, di samping menilai tahap keselamatan siber untuk mengelakkan insiden sama berulang.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.