Gangguan aplikasi SIP, FlexiParking: Kerajaan Negeri arah adakan audit forensik

1 Jul 2026, 8:24 AM
Gangguan aplikasi SIP, FlexiParking: Kerajaan Negeri arah adakan audit forensik

SHAH ALAM, 1 JULAI: Kerajaan Negeri telah mengarahkan agar suatu audit forensik segera dilakukan oleh CyberSecurity Malaysia untuk Sistem Parkir Pintar Selangor (SIP) dan FlexiParking susulan gangguan aplikasi yang menyebabkan perkhidmatan kutipan parkir di Selangor tidak dapat digunakan sejak semalam.

EXCO Pembudayaan Inovasi, Dr Fahmi Ngah berkata keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) bagi mengenal pasti punca sebenar insiden, selain menilai tahap keselamatan siber sistem yang digunakan.

Menurutnya, laporan awal yang diterima daripada pihak penyedia mendapati gangguan dipercayai berpunca daripada isu penyelenggaraan migrasi data dan serangan siber ketika penyelenggaraan dibuat.

EXCO Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Laporan awal yang kita terima daripada pihak penyedia memaklumkan gangguan ini dipercayai berpunca daripada isu penyelenggaraan dan migrasi data, termasuk berlakunya serangan siber.

"Saya telah meminta pihak CyberSecurity Malaysia menjalankan penilaian bebas bagi mendapatkan laporan yang lebih menyeluruh untuk mengenal pasti punca sebenar insiden ini serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan ia berulang pada masa hadapan," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut mengarahkan penilaian menyeluruh terhadap tahap kesiapsiagaan keselamatan siber melibatkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), kesemua pejabat daerah dan semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, Fahmi berkata aplikasi berkenaan masih belum dapat digunakan sepenuhnya ketika ini, namun pihak pembekal sedang melaksanakan proses pemulihan bagi memastikan semua perkhidmatan kembali beroperasi secepat mungkin.

Semalam, Rantaian Mesra Sdn Bhd menerusi Facebook memaklumkan aplikasi SIP mengalami gangguan teknikal sementara, manakala pasukan teknikalnya sedang berusaha memulihkan sistem.

Susulan gangguan itu, Kerajaan Negeri turut mengarahkan supaya tiada caj parkir atau kompaun dikenakan kepada pengguna sehingga aplikasi kembali beroperasi seperti biasa.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.