ad

Flexi Parking masih diguna di tiga PBT pakai sistem Parkir Pintar Selangor

18 Ogos 2025, 8:00 AM
Flexi Parking masih diguna di tiga PBT pakai sistem Parkir Pintar Selangor
Flexi Parking masih diguna di tiga PBT pakai sistem Parkir Pintar Selangor

SHAH ALAM, 18 OGOS: Aplikasi Flexi Parking masih digunakan di tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah melaksanakan kutipan menerusi sistem Parkir Pintar Selangor atau Selangor Intelligent Parking (SIP) bermula 1 Ogos lalu.

EXCO pembudayaan inovasi berkata setakat ini, aplikasi tersebut masih dipakai sehingga satu keputusan rasmi dibuat Kerajaan Negeri berhubung penggunaannya dengan lebih meluas.

“Buat masa ini, Flexi Parking masih boleh digunakan sehingga keputusan dibuat di peringkat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“Perlu ada kerangka untuk penggunaannya dan ia masih belum dibentang, namun kita berharap dengan pelaksanaannya dapat tingkat penguatkuasaan selain mempunyai kaedah yang kemas dan teratur,” kata Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Beliau berkata demikian ketika majlis pengiktirafan Flexi Parking yang berjaya melakar sejarah dan diiktiraf The Malaysia Book of Records (MBR) di sini hari ini.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr. Mohammad Fahmi Ngah menurunkan tandatangan poster di Majlis Penyampaian Anugerah Malaysia Book of Record Flexi Parking di DoubleTree by Hilton, I-City Shah Alam Selangor pada 18 Ogos 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Menerusi majlis itu, Flexi Parking mencipta dua rekod iaitu aplikasi tempat letak kereta bersepadu yang paling meluas di Malaysia dan transaksi bayaran parkir tertinggi dalam tempoh sehari.

Terdahulu, Mohammad Fahmi memaklumkan 461,265 transaksi diperoleh menerusi Flexi Parking yang mana lebih 100,000 transaksi adalah di Selangor sahaja melibatkan 11 PBT.

Sebelum ini, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim memaklumkan syarikat Rantaian Mesra Sdn Bhd akan melaksanakan kutipan parkir menerusi SIP di tiga PBT.

PBT berkenaan ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) manakala Majlis Bandaraya Petaling Jaya ( MBPJ) masih di peringkat perbincangan.

Penggunaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) menjimatkan masa pengguna yang tidak perlu lagi membeli kupon bergores mengikut pihak berkuasa tempatan (PBT). Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam pada itu, Mohammad Fahmi menegaskan tiada kenaikan caj parkir biarpun sistem yang dilengkapi dengan teknologi kamera litar tertutup (CCTV) dilaksana.

“Pelaksanaan SIP itu dilengkapi dengan penggunaan teknologi CCTV yang dapat menjamin penguatkuasaan lebih baik selain caj kutipan masih lagi dikekalkan setakat ini.

“Sistem baharu ini juga merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri menjadi bandar pintar kerana ia turut memantau kebersihan, keselamatan dan banjir,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.