EXCO: Lebih 200 CCTV siap dipasang di Subang Jaya, pelaksanaan SIP terus dipantau

19 Ogos 2026, 1:00 AM
EXCO: Lebih 200 CCTV siap dipasang di Subang Jaya, pelaksanaan SIP terus dipantau
EXCO: Lebih 200 CCTV siap dipasang di Subang Jaya, pelaksanaan SIP terus dipantau
EXCO: Lebih 200 CCTV siap dipasang di Subang Jaya, pelaksanaan SIP terus dipantau

SHAH ALAM, 19 OGOS: Lebih 200 kamera litar tertutup (CCTV) bagi Sistem Parkir Pintar Selangor (SIP) sudah dipasang di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) daripada sasaran keseluruhan 500 unit.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata kerja pemasangan baki kamera sedang dipercepatkan, namun beberapa aspek teknikal termasuk penyediaan bekalan elektrik di lokasi terlibat masih dalam proses penyelarasan.

Menurut beliau, kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) amat penting bagi memastikan setiap kamera menerima bekalan elektrik yang diperlukan untuk beroperasi.

"Di MBSJ ada 500 kamera yang akan dipasang dan setakat ini lebih 200 sudah dipasang.

"Bekalan elektrik daripada TNB memerlukan penyelarasan khususnya membabitkan lokasi pemasangan. Kita mahu semua pihak memberikan kerjasama supaya proses ini dapat dipercepat dan segala kekangan dapat diatasi," katanya kepada Media Selangor.

Suee Lim berkata pemasangan sistem berkenaan kini sedang diperluaskan ke pihak berkuasa tempatan (PBT) lain bagi meningkatkan kecekapan pengurusan parkir di negeri ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim menjawab soalan media ketika sidang media mengenai konsesi Sistem Parkir Pintar atau Smart Intelligent Parking (SIP) fasa pertama di Wisma Dewan Annex, Shah Alam pada 9 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Jelas beliau, Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan dan keberkesanan SIP bagi memastikan pelaksanaannya memenuhi piawaian serta tahap perkhidmatan yang ditetapkan.

Katanya, penyelarasan antara PBT dan penyedia perkhidmatan turut diperkukuh bagi memastikan sistem itu beroperasi dengan lancar di lapangan.

"Hasrat Kerajaan Negeri dan PBT adalah memastikan urusan kutipan lebih lancar, kawalan trafik lebih baik dan parkir yang disediakan lebih teratur.

"Rakyat mahukan sistem yang lebih canggih dan tidak menyusahkan terutama dari segi pembayaran. Jadi kita mahu perkhidmatan yang dilaksanakan benar-benar memenuhi harapan rakyat," ujarnya.

Dalam pada itu, Suee Lim berkata penggunaan teknologi perlu disokong dengan peningkatan keupayaan anggota penguat kuasa PBT yang berurusan secara langsung dengan orang ramai.

Sehubungan itu, katanya, anggota penguat kuasa perlu diberikan latihan serta kelengkapan mencukupi, selain mengutamakan pendekatan mesra pengguna ketika menjalankan tugas.

"Anggota penguat kuasa perlu diberikan latihan secukupnya, menyantuni pengguna serta dilengkapi dengan kemudahan yang lebih baik supaya tugas di lapangan dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa menimbulkan masalah," katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.