SHAH ALAM, 30 JUN: Kerajaan Negeri mengarahkan tiada caj parkir atau kompaun dikenakan kepada pengguna susulan gangguan sementara aplikasi perkhidmatan Smart Intelligent Parking (SIP).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya menerima makluman berhubung aplikasi parkir itu yang tidak dapat diakses oleh pengguna akibat isu teknikal.
“Pasukan teknikal sedang menaik taraf sistem untuk dimigrasi ke 'server' baharu.
“Sementara urusan teknikal ini berjalan, saya telah mengarahkan agar tiada caj parkir ataupun kompaun dikenakan kepada pengguna sehingga isu teknikal ini diselesaikan sepenuhnya,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Terdahulu, Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB) menerusi Facebook memaklumkan, perkhidmatan aplikasi SIP sedang mengalami gangguan teknikal buat sementara waktu.
Menurut syarikat milikan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) itu, pasukan teknikalnya sedang mengambil tindakan sewajarnya bagi memulihkan perkhidmatan secepat mungkin.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran serta kerjasama pengguna.
“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi RMSB dari semasa ke semasa,” katanya.








