Pelan baharu peniaga kecil Selayang, lesen lebih tersusun tahun depan

6 Dis 2025, 12:42 AM
Pelan baharu peniaga kecil Selayang, lesen lebih tersusun tahun depan

SHAH ALAM, 6 DIS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sedang merangka Pelan Strategik Pengurusan dan Pemerkasaan Peniaga Kecil 2026–2030 bagi menstruktur semula operasi penjaja yang masih tidak teratur di pelbagai lokasi sekitar kawasan itu.

Yang Dipertuanya, Shahman Jalaludin berkata sesi libat urus diadakan pada 12 hingga 14 November lalu bagi mengumpul input dan keperluan peniaga.

“Seramai 350 responden memberikan maklum balas mengenai lokasi sesuai untuk mereka menjalankan perniagaan. Hasil kajian ini akan membantu MPS menyediakan pelan menyeluruh untuk peniaga kecil,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPS di Menara MPS seperti dilapor The Star.

Menurut beliau, pelan tersebut turut merangkumi inisiatif mengesahkan (whitelist) peniaga tidak berlesen bagi memudahkan permohonan lesen perniagaan selepas pelancaran pelan itu tahun depan.

“Selepas pelan dilancar, kita akan galakkan semua penjaja memohon lesen. Namun tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga tanpa lesen tetap diteruskan seperti biasa,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Shahman Jalaludin. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Beliau turut memaklumkan pelan itu turut mensasarkan pembangunan pusat penjaja sebagai tarikan pelancong, sejajar usaha meningkatkan ekonomi tempatan.

Dalam perkembangan lain, Shahman berkata perubahan kutipan hasil parkir susulan pelaksanaan Sistem Parkir Pintar Selangor (SIP) hanya dapat dikenal pasti pada suku pertama 2026.

“Sistem ini masih dalam fasa peralihan. Rundingan dengan konsesi baharu sedang berjalan,” katanya.

Walaupun Kerajaan Negeri menetapkan agihan hasil parkir SIP iaitu 50 peratus kepada konsesi, 40 peratus kepada pihak berkuasa tempatan dan 10 peratus kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, terdapat beberapa perkara teknikal masih belum dimuktamadkan.

Katanya, aspek yang sedang diperhalusi termasuk pembahagian tenaga kerja, pemasangan serta penyelenggaraan kamera litar tertutup (CCTV) dan pengurusan logistik berkaitan operasi parkir.

MPS merupakan salah satu daripada empat PBT yang melaksanakan SIP bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).