Sultan: LRT3 hasil kerjasama semua pihak, harap kurangkan kesesakan

1 Jul 2026, 8:07 AM
Sultan: LRT3 hasil kerjasama semua pihak, harap kurangkan kesesakan
Sultan: LRT3 hasil kerjasama semua pihak, harap kurangkan kesesakan
Sultan: LRT3 hasil kerjasama semua pihak, harap kurangkan kesesakan

SHAH ALAM, 1 JULAI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berharap pembukaan stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) baru-baru ini, berupaya mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berharap kemudahan itu memberi pilihan perjalanan lebih pantas, selesa dan selamat khususnya buat warga Klang dan Shah Alam yang bekerja di Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Baginda mahu Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dapat menyelenggara semua laluan LRT3 tersebut dengan baik supaya ia dapat beroperasi dengan lancar dan sempurna.

"Beta tidak mahu lagi ada mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk mendakwa kejayaan pelaksanaan LRT3 ini adalah hasil usaha mereka semata-mata," titah Baginda dalam kenyataan hari ini.

"Hakikatnya, projek ini merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhannya."

Baginda berharap kemudahan itu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan lagi hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai nadi utama pertumbuhan negara.

Dalam pada itu, Baginda berterima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju meneruskan projek tersebut dengan mengembalikan semula lima stesen yang dibatalkan sebelum ini.

Baginda turut memuji persetujuan perdana menteri untuk membina rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3 bagi menambah kemudahan kepada rakyat.

"Beliau (Anwar) juga mengarahkan tiada lagi sebarang halangan yang perlu dilayan daripada mana-mana pihak berkaitan projek ini. Terima kasih dan syabas Beta ucapkan," titah Baginda.

Projek LRT3 Laluan Shah Alam yang membabitkan pelaburan sebanyak RM16.63 bilion antara pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara.

Sebelum ini, Prasarana memaklumkan laluan itu turut disokong 40 bas perantara yang beroperasi di 323 hentian membabitkan 13 laluan khusus, dengan tambang RM1 bermula 6 pagi hingga 11.30 malam.

Ahad lalu, perdana menteri mengumumkan tambang perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam diberikan secara percuma selama sebulan kepada semua penumpang bermula 29 Jun hingga 31 Julai ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.