SHAH ALAM, 1 JULAI: Kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) terus memperkukuh akses pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada latihan berteknologi tinggi serta pensijilan profesional yang diiktiraf industri.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kerjasama itu membuka lebih banyak peluang kepada pelajar TVET memperoleh kompetensi bernilai tinggi yang memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan ekonomi digital.
"Bagi negeri Selangor, akses murid kepada latihan berteknologi tinggi dan pensijilan profesional yang diiktiraf industri diperkukuh menerusi kerjasama strategik bersama STDC,"katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Dato' Menteri Besar yang juga Ahli Parlimen Gombak, Dato' Seri Amirudin Shari mengenai usaha mengharmonikan kerangka TVET Persekutuan dengan inisiatif negeri seperti STDC dan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM).
Fadhlina berkata sebanyak 598 penajaan pensijilan profesional ditawarkan kepada pelajar kolej vokasional bagi tempoh 2023 hingga 2025, manakala 124 penajaan tambahan disediakan tahun ini, khususnya membabitkan pelajar di Selangor.
Menurutnya, antara program kerjasama yang dilaksanakan ialah STDC Siemens TIA Portal Basic PLC (BPLC), STDC Siemens PLC Certified Professional (PLCCP), Creative Digital Content in Augmented Reality with Reality Composer, program juruteknik penyamanan udara dan penyejukan serta Program Penajaan Pensijilan Kemahiran SwiftUI Academy.
Beliau berkata STDC turut menyediakan peluang latihan industri (On-The-Job Training atau OJT) kepada 20 pelajar kolej vokasional setiap tahun bagi tempoh 2023 hingga 2025.
"Kerjasama antara KPM dan STDC mencerminkan pendekatan progresif kerajaan dalam memperkukuh laluan TVET sebagai pilihan pendidikan yang berprestij, fleksibel dan mempunyai prospek kerjaya tinggi," katanya.
Fadhlina berkata KPM turut memperkukuh kerjasama dengan institusi pembangunan bakat negeri lain serta industri berteknologi tinggi bagi memastikan Malaysia mempunyai tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan ekonomi masa depan.







