Tiada peruntukan khas untuk PIBG sekolah bawah KPM - Fadhlina

27 Nov 2026, 1:01 AM
Tiada peruntukan khas untuk PIBG sekolah bawah KPM - Fadhlina

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan belum meluluskan sebarang peruntukan khusus kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk disalurkan sebagai dana khas kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata peruntukan tahunan yang diterima kementerian ketika ini digunakan bagi membiayai operasi sekolah dan pelaksanaan aktiviti murid.

“Buat masa ini, tiada peruntukan khusus yang diluluskan oleh kerajaan kepada KPM sebagai dana khas kepada PIBG di sekolah-sekolah bawah KPM,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai kesediaan KPM menyediakan peruntukan tahunan yang disalurkan terus kepada PIBG, khususnya di sekolah luar bandar dan pedalaman.

Fadhlina berkata PIBG tetap memainkan peranan penting dalam membantu sekolah, termasuk membiayai kelas tambahan, menyediakan modul pembelajaran dan menyokong aktiviti kokurikulum.

Menurutnya, PIBG juga boleh membantu menyediakan kemudahan dan peralatan pengajaran dan pembelajaran (PdP), termasuk papan pintar.

Katanya, kerjasama sekolah dengan ibu bapa dan komuniti turut diperkukuh menerusi inisiatif Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS).

Inisiatif itu menggalakkan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta dalam menyokong keperluan sekolah.

Beliau berkata kerjasama berkenaan turut memberi perhatian kepada aspek keselamatan fizikal, psikologi dan digital murid bagi memastikan persekitaran pembelajaran lebih selamat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.