SHAH ALAM, 1 JULAI: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memberi jaminan kedudukan kewangannya kekal stabil meskipun melaksanakan pengurangan kadar sewa premis miliknya bagi membantu meringankan beban peniaga.
MPHS dalam kenyataannya memaklumkan bahawa inisiatif berkenaan disambut baik dan dijangka memberi manfaat kepada 681 penyewa premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sekali gus menyokong kelangsungan operasi perniagaan mereka.
“Sepanjang tempoh enam bulan pelaksanaan, MPHS menanggung implikasi kewangan kira-kira RM352,000 berbanding kutipan sewaan sebelum ini kira-kira RM192,000 sebulan.
"MPHS akan memastikan kestabilan kewangan majlis serta penyampaian perkhidmatan kepada penduduk tidak terjejas walaupun berdepan peningkatan kos penyelenggaraan premis," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pelaksanaan inisiatif itu telah diteliti dengan mengambil kira keupayaan kewangan majlis serta impaknya selaras dengan amalan pengurusan kewangan yang berhemah dan berdisiplin.
Dalam pada itu, MPHS akan terus mengutamakan perbelanjaan berdasarkan keperluan dan kepentingan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat selain meneroka sumber hasil baharu bagi memastikan kedudukan kewangan majlis kekal mampan.
MPHS turut menegaskan komitmen menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuh daya tahan ekonomi rakyat dan komuniti perniagaan selaras dengan aspirasi pembangunan inklusif dan mampan demi kesejahteraan jangka panjang semua pihak.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pengurangan kadar sewa premis milik PBT sebanyak 30 peratus bagi tempoh enam bulan bermula Julai menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2.
Beliau berkata langkah itu bertujuan membantu peniaga berdepan kesan krisis bekalan dan tenaga global sekali gus memberi manfaat kepada 21,234 penyewa premis PBT di seluruh Selangor.
Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM4.5 juta bagi menjayakan bantuan berkenaan yang akan disalurkan secara automatik kepada peniaga tanpa memerlukan sebarang permohonan.







