SHAH ALAM, 1 JUL: Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan literasi digital dilaksanakan di lebih 900 sekolah seluruh Selangor, membabitkan hampir 53,000 pelajar dan guru, setakat Mei lalu.
Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Selangor berkata kempen disesuaikan mengikut peringkat pendidikan bagi memupuk kesedaran berhubung keselamatan dalam talian.
"Murid sekolah rendah didedahkan dengan pengenalan media sosial termasuk mengenal pasti platform yang sesuai digunakan serta memahami risiko alam digital.
"Pelajar sekolah menengah pula diberi penekanan terhadap penggunaan internet secara selamat dan berhemah sebagai medium pembelajaran," kata Haji Amal Abdul Aziz.
Beliau berkata demikian dalam program Bicara Semasa bertajuk Kempen Internet Selamat: Ke Arah Ekosistem Digital Selamat terbitan Media Selangor, baru-baru ini.
Tambahnya, SKMM akan memperluaskan kempen berkenaan ke seluruh Selangor menerusi penganjuran Karnival Komuniti Internet Selamat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Menurutnya, program itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi bagi mendekati masyarakat termasuk ibu bapa dan warga emas, sekali gus memberi pendedahan mengenai ancaman penipuan dalam talian, trend jenayah siber terkini serta langkah pencegahannya.
"Saya ingin menjemput seluruh rakyat Selangor untuk turut serta dalam program ini bagi menambah ilmu mengenai keselamatan siber dan mengetahui trend ancaman siber terkini supaya tidak menjadi mangsa penipuan," katanya.
Kempen Internet Selamat dilancarkan awal 2025 sebagai usaha berterusan kerajaan meningkatkan kesedaran serta membudayakan penggunaan internet yang selamat, beretika dan bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Amal berkata Selangor terus merekodkan penggunaan internet tertinggi di Malaysia dengan 1.57 juta langganan jalur lebar tetap dan 9.51 juta langganan jalur lebar mudah alih setakat suku keempat 2025.
Selain itu, negeri berkenaan turut mencatat kadar penembusan jalur lebar tetap tertinggi di negara iaitu 64.1 langganan bagi setiap 100 premis.
Justeru, katanya, statistik itu menunjukkan keperluan untuk terus memperkukuh budaya Internet Selamat agar masyarakat lebih celik digital, berwaspada terhadap ancaman siber dan tidak mudah menjadi mangsa jenayah dalam talian.








