NEXSEC2026: Ancaman scam digital, AI jadi tumpuan

23 Nov 2026, 1:00 AM
NEXSEC2026: Ancaman scam digital, AI jadi tumpuan

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Ancaman penipuan digital yang semakin canggih, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), teknologi deepfake dan penyamaran identiti, menjadi antara fokus utama persidangan keselamatan siber NEXSEC2026 pada 25 dan 26 November ini.

Dianjurkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), program selama dua hari itu menghimpunkan wakil kerajaan, pemimpin industri, pakar keselamatan siber dan ahli akademik bagi membincangkan ancaman siber baharu, perkembangan teknologi serta kesiapsiagaan keselamatan siber negara.

Antara topik utama yang diketengahkan ialah penggunaan AI dalam memperkukuh pertahanan siber, keselamatan data berdepan perkembangan teknologi kuantum, jenayah siber serta usaha melahirkan lebih ramai tenaga profesional dalam bidang keselamatan siber.

Perkembangan teknologi AI turut meningkatkan kerumitan modus operandi penjenayah siber menerusi penggunaan suara dan video palsu, selain penyamaran identiti yang berpotensi memperdaya orang ramai daripada pelbagai latar belakang.

Sehubungan itu, sesi perkongsian teknologi bertajuk The State of Scams 2026: Trends, Impact and Lessons for Malaysia pada 26 November, jam 10.30 pagi, antara pengisian utama yang wajar diberikan perhatian.

Sesi berkenaan menampilkan Penasihat Asia Global Anti-Scam Alliance (GASA), Rajeshpal Singh Sandhu, yang akan membincangkan trend terkini penipuan, kesannya terhadap masyarakat serta pengajaran daripada pengalaman negara lain dalam menangani ancaman berkenaan.

Selain perbincangan panel dan perkongsian teknologi, NEXSEC2026 turut menampilkan pameran, pertandingan keselamatan siber serta pameran bakat bagi mengetengahkan kemahiran dan potensi generasi baharu dalam bidang berkenaan.

Orang ramai dijemput menghadiri program yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur itu secara percuma dan terbuka kepada semua.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang https://mcmc.gov.my/nexsec2026.

Kategorihebahan

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.