SUBANG JAYA, 30 JUN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) terus mempergiat usaha meningkatkan kemudahan pejalan kaki menerusi pelaksanaan beberapa projek laluan pejalan kaki yang menghubungkan kawasan tumpuan dengan hab pengangkutan awam.
Datuk Bandar Subang Jaya Dato' Amirul Azizan Abd Rahim berkata empat projek laluan pejalan kaki mula dilaksanakan tahun ini, selepas satu projek berjaya disiapkan tahun lalu.
Menurutnya, jumlah itu menjadikan keseluruhan lima projek telah dilaksanakan setakat ini.
“Tahun ini, kami telah memulakan empat projek laluan pejalan kaki. Tahun lalu kami menyiapkan satu projek, jadi keseluruhannya kini lima projek telah dilaksanakan.
“Bagi tahun hadapan pula, kami merancang kerja tambahan menerusi pelan operasi bajet tahunan MBSJ pada Ogos nanti dan penambahbaikan laluan pejalan kaki akan dimasukkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat penuh MBSJ dan pelancaran Pelan Strategik Subang Jaya di ibu pejabat MBSJ hari ini.
Usaha berkenaan selaras dengan inisiatif pihak berkuasa tempatan di seluruh Selangor yang mempertingkat kemudahan pejalan kaki susulan kebimbangan terhadap kekurangan serta jurang kemudahan sedia ada.
Pada 26 Jun lalu, EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata pihak berkuasa tempatan perlu terus menaik taraf infrastruktur pejalan kaki bagi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat, mudah diakses dan mesra orang ramai.
Sementara itu, Amirul berkata lokasi pembinaan laluan pejalan kaki telah dikenal pasti dan ditandakan oleh jabatan berkaitan.
Katanya, proses pelantikan serta mobilisasi kontraktor kini sedang dijalankan bagi melaksanakan kerja pembinaan di lokasi yang telah dikenal pasti.







