SUBANG JAYA, 30 Jun: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) hari ini melancarkan Pelan Strategik 2026-2030 yang akan menjadi panduan pembangunan bandar secara mampan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Datuk Bandarnya, Dato' Amirul Azizan Abd Rahim berkata pelan itu akan menjadi rujukan utama dalam pelaksanaan projek pembangunan, program penyelenggaraan, inisiatif kelestarian serta usaha mempertingkatkan tahap kebersihan di kawasan bawah pentadbiran MBSJ.
Menurutnya, pelan berkenaan turut menjadi panduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam merangka dasar pembangunan masa depan selain memastikan perancangan jangka panjang dilaksanakan secara lebih tersusun dan menyeluruh.
"Kita telah berusaha menghasilkan Voluntary Local Review (VLR) ketiga sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjadi bandar mampan.
"Pelan Strategik Subang Jaya ini bagi memastikan perancangan masa depan, inisiatif pembangunan, program kelestarian, penyelenggaraan dan pengurusan kebersihan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya kepada Media Selangor selepas Mesyuarat Penuh MBSJ dan Majlis Pelancaran Pelan Strategik di ibu pejabat MBSJ hari ini.

Beliau berkata pelan strategik itu meliputi tempoh lima tahun bermula tahun ini dan akan sentiasa ditambah baik mengikut keperluan semasa sepanjang pelaksanaannya.
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan dalam sesi libat urus bulan lalu, pelan itu dibangunkan berasaskan lima teras utama merangkumi 34 strategi dan 161 pelan tindakan.
Lima teras utama itu meliputi pengurusan organisasi yang cekap dan berintegriti; pengurusan kewangan yang telus serta berakauntabiliti; pengurusan perkhidmatan bandar raya bertaraf dunia; bandar pintar dan mampan serta pembentukan masyarakat madani dan inklusif ke arah bandar raya yang makmur, hab perdagangan dan tempat tinggal ideal.
Sementara itu, Amirul berkata pihaknya akan menyemak Rancangan Tempatan Subang Jaya 2035 sepanjang tempoh lima tahun ini bagi memastikan dasar pembangunan terus memenuhi keperluan penduduk dan pihak berkepentingan.
"Kita akan membuat pindaan terhadap Rancangan Tempatan dan melaksanakan proses pendengaran awam. Pendengaran awam dijangka diadakan pada Julai ini," katanya.
Beliau berkata penyertaan orang ramai amat penting dalam membentuk perancangan pembangunan masa depan Subang Jaya selaras dengan usaha MBSJ mewujudkan bandar yang lebih mampan dan selesa didiami.






