KUALA LUMPUR, 9 JUN: Sebuah bangunan flat yang didirikan secara haram oleh warganegara asing di Kampung Kenangan, Sungai Makau di Hulu Langat pernah diserbu pihak berkuasa pada 28 Februari 2025.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan di lokasi berkenaan akan diteruskan.
Beliau berkata dalam serbuan di bawah Ops Kutip yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Selangor pada tahun lalu, 42 warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah ditahan.
“(Mereka) terdiri daripada 35 lelaki, tiga wanita serta masing-masing dua kanak-kanak lelaki dan perempuan.
"Kesemua tangkapan itu telah disiasat oleh Jabatan Imigresen mengikut Seksyen 51(3)(a) Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) akta yang sama di Depot Imigresen," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan penularan satu video berdurasi 47 saat di Facebook hari ini, yang memaparkan kewujudan struktur bangunan berkenaan.
Mengulas lanjut, Naazron berkata pihak berkuasa turut menyerahkan satu Borang IMM 29, iaitu saman kepada saksi dan Borang Geledah mengikut Seksyen 51(1) Akta Imigresen 1959/63 kepada seorang lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes itu.
Beliau berkata lelaki tempatan berkenaan mengaku sebagai anak kepada pemilik rumah di lokasi struktur haram tersebut didirikan.
Naazron berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya menerusi talian MERS 999 atau Pusat Kawalan IPD Kajang 03-89114243.









