SHAH ALAM, 30 JUN: Walaupun Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam mula beroperasi semalam, pengguna di Stesen Dato' Menteri masih belum dapat menikmati akses pejalan kaki yang sempurna ke Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Shah Alam City Centre (SACC).
Tinjauan Media Selangor mendapati pengguna yang berjalan dari kedua-dua arah, sama ada menuju ke stesen atau keluar ke Kompleks PKNS dan SACC, terpaksa menggunakan bahu jalan kerana laluan pejalan kaki yang bersambung masih belum disiapkan sepenuhnya.
Keadaan itu sekali gus mengundang risiko keselamatan kepada pejalan kaki.
Selain menjadi akses ke Kompleks PKNS dan SACC, Stesen Dato' Menteri turut menghubungkan pengguna ke Hospital Avisena, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Shah Alam dan Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Justeru, penyediaan akses pejalan kaki yang lengkap dan selamat amat penting bagi kemudahan orang ramai yang berulang-alik ke kawasan berkenaan.

Seorang pengguna, Noor Hazila Mohamad Jamaludin, 41, berkata walaupun jarak antara Tasik Shah Alam dengan stesen tidak terlalu jauh, ketiadaan laluan pejalan kaki yang sempurna memaksa orang ramai menggunakan laluan alternatif yang berbahaya.
"Sepatutnya apabila stesen mula beroperasi, kemudahan infrastruktur termasuk laluan pejalan kaki turut disiapkan supaya pengguna boleh berjalan dengan selamat.
"Kalau hujan memang lebih membahayakan kerana kita berjalan di tepi jalan. Takut pemandu tidak nampak pejalan kaki, lebih-lebih lagi pada waktu malam apabila kawasan ini agak gelap," katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Fatirah Azida Abd Rahman, 63, berkata beliau bersama anaknya terpaksa berpusing beberapa kali untuk mencari laluan ke Stesen Dato' Menteri kerana tiada papan tanda arah yang jelas dari kawasan sekitar.
Katanya, keadaan itu menyukarkan pengguna yang pertama kali menggunakan stesen berkenaan kerana terpaksa melalui kawasan pembinaan sebelum menemui pintu masuk.
"Daripada kawasan UTC pun tiada petunjuk arah ke stesen. Kami berpusing beberapa kali kerana tidak tahu laluan yang betul.
"Saya harap kerja infrastruktur dapat disiapkan segera dan papan tanda arah dipasang supaya pengguna lebih mudah bergerak antara stesen dengan kawasan sekitar," katanya.

Anaknya, Mohamad Azrul Noor Azizulrahim, 33, berkata penyediaan laluan pejalan kaki yang lengkap serta sistem penunjuk arah (wayfinding) penting bagi menjamin keselamatan dan memudahkan pergerakan pengguna.
Katanya, kemudahan itu amat membantu terutama bagi mereka yang pertama kali menggunakan LRT3 atau datang dari kawasan sekitar seperti Tasik Shah Alam.
"Laluan ke stesen juga kalau boleh dinaik taraf dengan lebih sempurna kerana keadaan sekarang agak berbahaya apabila pejalan kaki terpaksa berjalan di tepi jalan ketika kenderaan lalu-lalang.
"Kalau ada laluan yang lebih sempurna, berbumbung dan papan tanda arah yang jelas, ia lebih selesa terutama untuk warga emas, kanak-kanak serta pengguna yang membawa keluarga," katanya.
Seorang lagi pengguna, Mohamad Murshidi Mohamed Adnan, 44, berharap pembinaan laluan pejalan kaki dapat dipercepatkan kerana pengguna masih berdepan risiko setiap kali berjalan dari stesen ke destinasi berhampiran.

"Sebagai pengguna memang saya rasa risau kerana laluan pejalan kaki belum siap. Keselamatan pejalan kaki masih belum terjamin.
"Saya harap pembinaan dapat dipercepat kerana ketika hujan, pejalan kaki langsung tiada tempat untuk berteduh dan keadaan itu menyukarkan semua pengguna," katanya.
Bagi Adilah Ali, 35, meskipun pengalaman pertamanya menggunakan LRT3 berjalan lancar dengan bantuan kakitangan stesen yang mesra, akses pejalan kaki masih perlu dipertingkat bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam.
Jurulatih renang itu berkata penyediaan laluan pejalan kaki yang selamat dan berbumbung penting bagi memudahkan orang ramai berjalan ke stesen tanpa bergantung sepenuhnya kepada kenderaan persendirian atau perkhidmatan e-panggilan.

"Kalau hendak menjadikan kemudahan ini lebih mudah diakses, laluan pejalan kaki memang perlu disiapkan sepenuhnya supaya orang ramai boleh berjalan dengan selamat ke stesen.
"Kita tidak boleh mengharapkan semua orang menggunakan Grab. Kalau boleh, biarlah orang ramai boleh berjalan kaki terus dari rumah atau premis berhampiran supaya penggunaan pengangkutan awam lebih mudah," katanya.
Sementara itu, pesara Ali Hassan, 70, berpendapat kemudahan parkir di Stesen Dato' Menteri turut perlu diberi perhatian memandangkan tidak semua pengguna tinggal dalam jarak berjalan kaki.
Katanya, penyediaan parkir yang mencukupi mampu menggalakkan lebih ramai menggunakan LRT selain memudahkan mereka yang datang dari kawasan sekitar.
"Ramai pengguna datang dari kawasan yang agak jauh dan tidak semua sanggup berjalan kaki selama 20 minit untuk ke stesen. Sebab itu kemudahan parkir juga penting," katanya.
Media Selangor sedang mendapatkan maklum balas daripada EXCO Mobiliti, Ng Sze Han dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhubung isu berkenaan.












