SERDANG, 26 JUN: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor sudah diarah memberi keutamaan kepada pembinaan laluan pejalan kaki yang selamat dan selesa bagi menghubungkan kawasan sekitar dengan stesen pengangkutan awam.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata arahan itu melibatkan semua PBT di Selangor, bukan hanya di sepanjang jajaran Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), bagi mengatasi isu jurang hubungan (missing link) ke kemudahan pengangkutan awam.
“Arahan sudah diberi kepada semua PBT, bukan PBT di bawah LRT3 sahaja. Ini melibatkan semua PBT, yang mana mereka perlu memastikan missing link kepada stesen pengangkutan yang sedia ada itu dilengkapkan.
“Jadi tumpuan bagi PBT untuk tahun ini dan tahun yang akan datang adalah untuk membina kemudahan pejalan kaki yang lebih selamat dan selesa kepada pengguna,” katanya.
Beliau ditemui pada Forum Aeroangkasa Selangor (SAF) 2026@Sidang Kemuncak MyAERO 2026 di MAEPS, di sini, hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri turut mengadakan libat urus secara berterusan dengan pengendali pengangkutan seperti Rapid On-Demand bagi memastikan keperluan sambungan perjalanan pertama dan terakhir (first mile dan last mile) dapat dipenuhi selepas LRT 3 beroperasi.
“Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah mengadakan libat urus bersama Prasarana beberapa kali untuk perkhidmatan rapid on demand. Jadi mereka telah ada rancangan yang saya nampak agak komprehensif untuk liputan di kebanyakan kawasan sepanjang jajaran itu.
“Jadi selepas perasmian (LRT 3), saya rasa kita boleh bincang sekali lagi untuk memastikan keperluan yang sebenarnya di mana dan pengubahsuaian boleh dibuat.
“Libat urus itu akan sentiasa diadakan bersama pengendali-pengendali supaya kita dapat beri perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna sepanjang LRT 3,” katanya.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini memaklumkan perkhidmatan LRT3 yang menghubungkan Shah Alam dengan kawasan sekitarnya akan mula beroperasi pada 29 Jun.
Menurutnya, majlis perasmian laluan baharu itu akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehari lebih awal, sebelum dibuka kepada orang ramai keesokan harinya.
Namun, tular di media sosial sebelum ini mengenai keresahan orang ramai terhadap tahap akses ke beberapa kawasan sekitar stesen LRT3, termasuk dakwaan laluan ke sebuah institusi pendidikan yang masih belum mesra pejalan kaki selain pengguna terpaksa melalui kawasan semak serta laluan yang tidak selamat.







