Tingkat produktiviti, 200 usahawan India terima bantuan peralatan niaga

30 Jun 2026, 5:19 AM
Tingkat produktiviti, 200 usahawan India terima bantuan peralatan niaga
Tingkat produktiviti, 200 usahawan India terima bantuan peralatan niaga

SHAH ALAM, 30 JUN: Seramai 200 usahawan terpilih menerima bantuan di bawah Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED) bagi Fasa 1 dan Fasa 2 tahun ini.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V. Papparaidu berkata Fasa 1 membabitkan 33 permohonan diluluskan pada Mei lalu, manakala 167 lagi permohonan telah diluluskan semalam.

Beliau berkata setiap permohonan diteliti dan dinilai secara telus menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan i-SEED bagi memastikan bantuan peralatan disalurkan kepada usahawan yang benar-benar layak.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa usahawan India melalui penyediaan bantuan yang mampu meningkatkan kapasiti perniagaan, menjana pendapatan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi,” katanya menerusi Facebook.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting itu menambah, proses pengagihan peralatan perniagaan kepada penerima Fasa 2 akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut daerah bermula Ogos ini.

Beliau berharap bantuan itu dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh penerima untuk mengembangkan perniagaan, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh daya saing dalam dunia keusahawanan.

“Kerajaan Selangor akan terus komited memperkasakan usahawan India menerusi pelbagai inisiatif yang memberi impak langsung kepada peningkatan taraf ekonomi dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Program i-SEED yang diperkenalkan pada 2021 bertujuan meningkatkan taraf ekonomi komuniti India dengan menyediakan bantuan peralatan perniagaan kepada usahawan kecil dan peniaga berpendapatan rendah.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.