Pakar: Pakej daya tahan stabilkan peniaga kecil, elak 'kesan domino' ekonomi

30 Jun 2026, 6:00 AM
Pakar: Pakej daya tahan stabilkan peniaga kecil, elak 'kesan domino' ekonomi
Pakar: Pakej daya tahan stabilkan peniaga kecil, elak 'kesan domino' ekonomi
Pakar: Pakej daya tahan stabilkan peniaga kecil, elak 'kesan domino' ekonomi

SHAH ALAM, 30 JUN: Impak sebenar Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 dianggap 'penyelamat' bagi membantu perusahaan mikro meneruskan kelangsungan perniagaan ketika berdepan cabaran ekonomi.

Profesor ekonomi Universiti Tunku Abdul Rahman berkata pakej itu penting untuk ekonomi rakyat meski kesan penggandanya kecil berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar Selangor bernilai RM460 bilion.

Menurut Dr Wong Chin Yoong, inisiatif itu juga berpaksikan usahawan mikro, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor pertanian, serta komuniti setempat bagi menyelesaikan kemelut asas di peringkat akar umbi.

"Perusahaan mikro merupakan kelompok yang paling rapuh dan sering mendepani jalan buntu untuk mendapatkan pembiayaan rasmi. Kehadiran pakej rangsangan Selangor ini bertindak mengisi lompang dana berkenaan sekali gus menjadi bantuan kecemasan yang amat diperlukan.

"Ini adalah bentuk sokongan ekonomi tempatan. Majoriti peniaga kecil bergantung sepenuhnya kepada lokaliti penempatan mereka untuk mencari rezeki, jadi dana ini secara langsung menstabilkan kitaran ekonomi marhaen," katanya kepada Media Selangor.

Chin Yoong menegaskan penilaian impak dana bantuan itu tidak boleh disamakan dengan indikator makroekonomi kerana kesan yang tidak kelihatan pada data menjadi kayu ukur kekuatan sebenar.

Menurutnya, kuasa beli masyarakat akan merosot apabila sesebuah lokaliti hilangan pekerjaan dan modal pusingan, sekali gus mengheret peniaga ke kancah krisis yang mencetuskan 'kesan domino'.

"Jika perniagaan kecil mampu bertahan, penjaja boleh menyara keluarga berikutan adanya suntikan dana insentif, maka rantaian impak negatif itu dapat disekat sepenuhnya. Inilah yang dinamakan sebagai membina daya tahan sebenar.

"Melalui skim seperti pinjaman mikro tanpa faedah serta program transisi kerjaya yang disediakan Kerajaan Selangor, aktiviti ekonomi setempat dapat dikekalkan pada status 'perniagaan seperti biasa' (business as usual). Keadaan yang stabil tanpa penutupan kedai ini membuktikan pakej tersebut berfungsi dengan berkesan," jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas cabaran golongan pekerja atau peniaga kecil yang ingin beralih ke sektor lain (career transition) berikutan tekanan pasaran semasa.

Jelas Chin Yoong, sektor pasaran buruh tempatan memerlukan tempoh penampan (buffer period) yang mencukupi kerana sebahagian besar tenaga kerja sedia ada masih berdepan isu kekurangan kemahiran baharu untuk bertukar kerjaya secara mendadak.

"Tanpa adanya bantuan aliran tunai dan sokongan daripada pihak kerajaan negeri, kelangsungan hidup kumpulan sasar ini akan terjejas teruk sebelum mereka sempat meningkatkan kemahiran diri untuk pasaran baharu," katanya lagi.

Selangor memperuntuk RM355.06 juta bagi melaksanakan dua fasa Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor untuk mendepani krisis bekalan susulan konflik di Asia Barat.

Sebanyak RM145.8 juta disediakan bagi melaksanakan tujuh inisiatif dalam Fasa 1, manakala selebihnya bagi fasa dua merangkumi 15 inisiatif baharu yang diumumkan pada 19 Jun.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.