SHAH ALAM, 16 OGOS: Sasaran pembinaan 200,000 unit Rumah Selangorku perlu disokong perancangan seimbang dari segi lokasi, harga dan kemudahan perhubungan bagi memastikan kediaman itu benar-benar memenuhi keperluan rakyat.
Pensyarah Perancang Bandar dan Wilayah/Pembangunan Komuniti Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohammad Mujaheed Hassan berkata sasaran itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.
“Selain memastikan harga rumah bersesuaian dengan kemampuan rakyat, lokasi pembangunan juga perlu diberi perhatian bagi memastikan pemilik mendapat akses kemudahan asas dan perkhidmatan awam.
“Perancangan sesebuah bandar perlu memastikan aksesibiliti mencukupi kepada penduduk supaya mereka bukan sahaja mempunyai rumah tetapi dapat menikmati kehidupan yang baik,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut Dr Mohammad Mujaheed, pembangunan Rumah Selangorku tidak seharusnya tertumpu di kawasan pinggir bandar sahaja, sebaliknya perlu diperluas ke kawasan bandar bagi mengelakkan pengasingan kelompok masyarakat mengikut tahap pendapatan.
Katanya, pendekatan itu penting bagi mengelakkan stigma terhadap golongan berpendapatan rendah (B40) selain memastikan semua lapisan masyarakat berpeluang menikmati kediaman yang selesa, berkualiti dan berada di lokasi strategik.
Jelasnya, sasaran itu juga memberi peluang lebih besar kepada golongan muda memiliki kediaman pada harga mampu milik khususnya ketika harga rumah di kawasan bandar terus menjadi cabaran.
Bagaimanapun, beliau menegaskan aspek kualiti dan kelestarian pembangunan perlu diberi perhatian bagi memastikan projek yang dibina tidak menjadi ‘rumah sakit’ atau berdepan masalah terbengkalai.
Kerajaan Negeri sebelum ini menetapkan sasaran menyediakan 200,000 unit rumah mampu milik menerusi Rumah Selangorku Harapan dan Idaman di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) menjelang 2030.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sebanyak 64,188 unit siap dibina setakat ini, manakala 69,014 unit lagi sedang dalam pembinaan, menjadikan keseluruhan 133,202 unit.








