Martabat Bahasa Melayu perlu jadi agenda nasional - pakar

6 Ogos 2026, 12:10 AM
Martabat Bahasa Melayu perlu jadi agenda nasional - pakar

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu digerakkan sebagai agenda nasional yang melibatkan semua pihak termasuk sektor swasta, institusi pendidikan tinggi dan rakyat.

Profesor Fakulti Undang-Undang Multimedia University (MMU) merangkap Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Prof Dr Ramalinggam Rajamanickam berkata bahasa Melayu, mempunyai kedudukan yang jelas di sisi Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 152 sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

“Semua warganegara bertanggungjawab mengangkat martabatnya,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk Bahasa Melayu: Jiwa Bangsa, Identiti Negara, hari ini.

Profesor Fakulti Undang-Undang Multimedia University (MMU) merangkap Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Prof Dr Ramalinggam Rajamanickam. Foto BERNAMA

Ramalinggam berkata cabaran utama ketika ini bukan lagi tahap penggunaan bahasa Melayu yang secara umumnya memuaskan, sebaliknya mutu penggunaan yang semakin terjejas akibat percampuran bahasa, bahasa rojak dan keracunan bahasa.

Penggunaan bahasa rojak atau singkatan di media sosial tidak menjadi isu besar sekiranya digunakan dalam komunikasi tidak rasmi, namun bahasa Melayu yang gramatis dan mengikut laras yang betul, perlu digunakan dalam urusan rasmi.

Mengulas aspek perundangan, Ramalinggam berkata selain Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, kedudukan bahasa Melayu turut diperkukuh menerusi Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, yang menetapkan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan dalam urusan rasmi.

“Kementerian perlu memantau pelaksanaannya, manakala universiti pula perlu bertanggungjawab memastikan bahasa kebangsaan benar-benar menjadi bahasa ilmu, tanpa mengabaikan keperluan penguasaan bahasa Inggeris,” katanya.

Menyentuh perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), beliau berkata Malaysia tidak seharusnya menunggu teknologi menguasai bahasa, sebaliknya bahasa Melayu perlu diperkasakan agar mampu menguasai teknologi.

Ramalinggam berkata usaha itu memerlukan penglibatan menyeluruh kerajaan, institusi pendidikan tinggi, penyelidik dan pakar bahasa bagi memastikan bahasa Melayu terus relevan dalam bidang sains, teknologi, ekonomi serta AI.

Beliau berkata bahasa Melayu, mempunyai potensi besar sebagai bahasa ilmu memandangkan bahasa itu pernah menjadi lingua franca di rantau ini dan masih dipelajari di beberapa negara seperti China, Jepun dan India.

“Pemerkasaan bahasa kebangsaan juga bukan bermaksud meminggirkan bahasa lain. Kita boleh menguasai pelbagai bahasa, tetapi bahasa kebangsaan mesti kekal sebagai identiti negara”, katanya.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.