SHAH ALAM, 30 JUN: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan sumbangan RM20,000 kepada Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Negeri Selangor bagi menyokong pelaksanaan program anjuran badan itu pada masa akan datang.
Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya turut menyalurkan sumbangan bulanan kepada pengetua yang terlibat dalam Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka dalam memperkasa pendidikan di negeri ini.
Menurutnya, bermula bulan ini, setiap pengetua yang terlibat dalam PTRS akan menerima elaun RM100 sebulan.
“Bermula bulan ini, pengetua yang terlibat dalam PTRS akan menerima RM100 sebulan sebagai penghargaan atas pelaksanaan program tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Mesra Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Negeri Selangor 2026 di Geno Hotel, semalam. Rakaman ucapan beliau dikongsi menerusi Facebook Yayasan MBI.
Beliau berkata sumbangan itu diharap menjadi suntikan semangat kepada pengetua untuk terus memimpin institusi pendidikan dengan penuh dedikasi.
Katanya, peranan pengetua amat penting dalam memastikan kejayaan pelbagai inisiatif pendidikan termasuk PTRS yang memberi manfaat kepada pelajar.
Ahmad Azri berkata Yayasan MBI akan terus komited menyokong usaha memperkasakan pendidikan demi melahirkan generasi cemerlang dan berdaya saing di Selangor.







