Selangor perlu lebih banyak loji WTE, kurangkan tapak pelupusan

30 Jun 2026, 3:22 AM
Selangor perlu lebih banyak loji WTE, kurangkan tapak pelupusan

SHAH ALAM, 30 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) berharap pembinaan loji sisa kepada tenaga (WTE) Jeram Fasa 2 dan Tanjung Dua Belas dapat dipercepatkan bagi memperluaskan penggunaan teknologi itu di Selangor, sekali gus mengurangkan kebergantungan tapak pelupusan sanitari.

Pengarah Urusannya, Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata, lebih banyak loji WTE perlu dibangunkan memandangkan Selangor tidak boleh terus bergantung kepada tapak pelupusan yang memerlukan kawasan tanah luas bagi menampung peningkatan jumlah sisa.

“Saya berharap Jeram Fasa 2 dapat disiapkan secepat mungkin, begitu juga Tanjung Dua Belas. Kita perlu memperbanyakkan loji WTE di seluruh Selangor kerana tidak boleh bergantung kepada tapak pelupusan selama-lamanya.

“Setiap lima hingga tujuh tahun, kita terpaksa menggunakan antara 100 hingga 150 ekar tanah untuk tapak pelupusan. Dengan lebih banyak kemudahan WTE, operasi lori juga akan menjadi lebih bersih dan selamat kerana tidak lagi perlu melalui keadaan tanah mencabar di tapak pelupusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KDEBWM dan TM Enviro Industries Sdn Bhd bagi memperkukuh ekosistem pengurusan sisa elektronik (e-sisa) di ibu pejabat KDEBWM, di sini semalam.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato' Ramli Mohd Tahir bercakap kepada media dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara KDEBWM dan TM Enviro Industries Sdn. Bhd. di KDEBWM, Shah Alam pada 29 June 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Dalam pada itu, beliau berkata KDEBWM turut memberi perhatian terhadap aspek keselamatan operasi penghantaran sisa ke Loji WTE Jeram Fasa 1 yang kini berada dalam fasa ujian dan pentauliahan (commissioning).

“Daripada sudut pandang pengendali lori, ada beberapa penambahbaikan yang perlu dibuat. Kita perlu melihat aspek keselamatan pemandu, kru dan lori, khususnya ketika lori mengundur untuk melepaskan sisa ke dalam bunker. Semua langkah keselamatan perlu dipastikan sepenuhnya,” ujarnya.

Beliau berkata KDEBWM akan mengemukakan cadangan penambahbaikan kepada Worldwide Holdings Berhad berdasarkan pengalaman operasi sepanjang kira-kira satu setengah bulan menghantar sisa ke loji berkenaan.

“Kami akan berkongsi maklum balas berdasarkan pengalaman operasi, termasuk proses penghantaran ke hopper dan bunker, tempoh menunggu serta pergerakan lori supaya operasi dapat ditambah baik.

“Pada masa sama, kami akan terus memperkemaskan operasi di pihak kami agar pengurusan sisa menjadi lebih cekap,” tambahnya.

Menurutnya, ketika ini hanya sebahagian sisa dari Klang dihantar ke Loji WTE Jeram mengikut kapasiti yang dibenarkan sepanjang tempoh ujian dan pentauliahan sebelum operasi penuh dilaksanakan.

“Buat masa ini, kami diarahkan mengehadkan jumlah lori setiap hari kerana loji masih dalam fasa ujian dan pentauliahan. Klang sendiri menghasilkan kira-kira 750 hingga 800 tan sisa sehari.

“Apabila loji mencapai kapasiti maksimum dan beroperasi sepenuhnya, kami berharap keseluruhan sisa dari Klang dapat dihantar ke kemudahan itu,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Loji WTE Jeram Fasa 2 dijangka siap hujung tahun ini atau selewat-lewatnya November, manakala Loji WTE Tanjung Dua Belas di Kuala Langat dijangka siap sekitar 2027 hingga awal 2028.

Menurut beliau, apabila ketiga-tiga loji WTE itu beroperasi sepenuhnya, termasuk Loji WTE Jeram Fasa 1 yang dibina dengan kos kira-kira RM2 bilion, kapasiti pemprosesan sisa dijangka meningkat kepada 5,500 tan sehari.

Berdasarkan laporan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2024, rakyat Malaysia menghasilkan lebih 39,000 tan sisa pepejal setiap hari atau sekitar 1.17 kilogram seorang.

Daripada jumlah itu, sisa makanan merupakan komponen terbesar iaitu sekitar 30.6 peratus, diikuti plastik sebanyak 21.9 peratus.

Angka ini bersamaan ribuan lori sampah yang bergerak setiap hari untuk mengangkut sisa yang dihasilkan masyarakat moden.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.