KUALA SELANGOR, 12 JUN: Pembangunan tiga loji sisa kepada tenaga (WTE) di Selangor dijangka menjimatkan lebih 2,000 ekar tanah yang perlu diperuntuk untuk tapak pelupusan sampah, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan perumahan, perindustrian dan aktiviti ekonomi lain.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata loji WTE merupakan langkah transisi penting negeri dalam pengurusan sisa pepejal yang lebih mampan dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kaedah tapak pelupusan yang memerlukan kawasan tanah yang luas.
Menurutnya, tanah yang dapat dijimatkan menerusi penggunaan teknologi WTE boleh dimanfaatkan untuk pelbagai pembangunan bernilai tinggi termasuk kawasan perumahan, zon perniagaan dan perindustrian yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

“Dengan pelaksanaan tiga loji WTE, Selangor dapat menjimatkan lebih 2,000 ekar tanah yang sebelum ini diperlukan bagi tujuan tapak pelupusan. Tanah ini boleh digunakan untuk pembangunan perumahan, kawasan perniagaan dan aktiviti ekonomi lain yang memberi nilai tambah kepada negeri.
“Ini merupakan transisi yang saya maksudkan dalam pengurusan sisa di Selangor. Daripada sebelum ini kita menguruskan sisa melalui kaedah tapak pelupusan atau landfill, kini kita beralih kepada pengurusan yang lebih mampan menerusi teknologi sisa ke tenaga,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Majlis Pembukaan Operasi Loji WTE1 Jeram di Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC) Jeram di sini, hari ini.
Dalam sidang media, Amirudin berkata loji WTE2 di Jeram dijangka siap hujung tahun ini atau selewat-lewatnya November, manakala loji WTE ketiga di Tanjung Dua Belas, Kuala Langat dijangka siap sekitar 2027 hingga awal 2028.
Jelasnya, apabila ketiga-tiga loji yang dibina dengan dengan kos keseluruhan kira-kira RM2 bilion itu beroperasi sepenuhnya, kapasiti pemprosesan sisa dijangka mencecah 5,500 tan sehari sekali gus mengurangkan jumlah sisa yang perlu dilupuskan di tapak pelupusan daripada kira-kira 8,000 tan sehari ketika ini kepada sekitar 2,500 hingga 3,000 tan sehari.

“Paling tidak sekarang 1,500 tan boleh diproses di WTE1. Kalau WTE2 lengkap kita ada 3,500 tan dan selebihnya 2,000 tan akan diuruskan di Tanjung Dua Belas.
“Jadi ketiga-tiga juga mengurangkan daripada 7,000 mungkin sekarang 8,000 tan sampah yang diuruskan setiap hari, maknanya ada lebih kurang 2,500 hingga 3,000 tan yang akan diuruskan di tapak pelupusan.
“Keperluan untuk tapak pelupusan masih ada sebab sisa daripada keperluan WTE ini akan perlukan kawasan landfill untuk dilupuskan walaupun sisa tu nampak lebih ringan, lebih sedikit. Selain itu, sisa industri yang perlu diuruskan kerana tidak boleh diuruskan dalam bentuk WTE. Sebab itu kita masih memerlukan landfill, tapi yang penting saiz jauh lebih kecil dan jauh lebih mampan,” katanya.
WTE1 yang mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) pada 13 Mei lalu, dibangunkan sepenuhnya Worldwide Holdings Berhad (WHB), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Loji berkenaan berupaya berupaya memproses sebanyak 1,500 tan sisa pepejal sehari dan menjana sehingga 26 megawatt (MW) tenaga elektrik, mencukupi untuk membekalkan tenaga kepada sekurang-kurangnya 26,000 isi rumah, bergantung kepada corak penggunaan elektrik masing-masing.







