SEPANG, 5 DIS: Kerjasama strategik antara KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dijangka mampu mengurangkan kos pengurusan sisa serta jumlah sampah yang dihantar ke tapak pelupusan di kawasan itu.
Yang Dipertua MPSepang, Dr Ani Ahmad berkata kerjasama ini turut meningkatkan kecekapan operasi kutipan sampah dan mengurangkan kos ‘tipping fee’ yang kini mencecah RM5.2 juta setahun berikutan purata kutipan tahunan sebanyak 130,000 tan metrik.

“Pengurusan sisa yang efektif bukan hanya sekadar berkisar kepada soal kebersihan tetapi juga soal kesihatan persekitaran dan kelestarian alam sekitar untuk jangka masa yang panjang,” katanya pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor dan Arm Roll baharu KDEBWM di Ibu Pejabat MPSepang di Cyberjaya, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Ani berkata isu pembuangan haram adalah antara cabaran yang perlu ditangani secara bersama kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menjejaskan kesihatan masyarakat.
Beliau turut menggalakkan komuniti untuk mengasingkan sisa kitar semula sebagai langkah meningkatkan kelestarian dan mengurangkan tekanan terhadap tapak pelupusan sejajar dengan visi MPSepang untuk menjadi perbandaran ‘Bersih, Hijau, Pintar dan Mampan’ menjelang 2030.

Terdahulu, KDEBWM menyerahkan 114 unit lori bernilai RM36 juta kepada MPSepang termasuk 39 lori kompaktor, empat mini kompaktor dan 71 lori arm roll, menjadikan MPSepang pihak berkuasa tempatan kelapan menerima kenderaan baharu daripada syarikat berkenaan.
Pengarah Urusannya, Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata lori kompaktor berkapasiti 19 tan itu mampu meningkatkan kecekapan kutipan sampah bagi hampir 400,000 penduduk di Sepang sekaligus menyokong usaha menjadikan perkhidmatan lebih moden dan tersusun.


