SHAH ALAM, 29 Jun: Pengguna Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam berharap kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) terus dipertingkat, termasuk penyediaan papan tanda Braille dan koc wanita bagi meningkatkan keselesaan serta keselamatan penumpang.
Razlan Ibrahim, 40, berkata papan tanda Braille di lokasi utama seperti surau, tandas dan lif mampu membantu golongan OKU penglihatan bergerak dengan lebih mudah.
Beliau yang menggunakan LRT3 dari Stesen Bandar Utama ke Stesen Glenmarie 3 turut memuji kemudahan sedia ada, khususnya tandas OKU dan surau yang disifatkannya mesra pengguna.

“Saya harap akan ada lebih banyak akses kepada maklumat seperti papan tanda Braille dan penunjuk arah supaya OKU penglihatan boleh bergerak dengan lebih mudah dan berdikari.
“Saya juga gembira kerana dapat menikmati tambang percuma sebagai pemegang kad OKU dan akan memanfaatkan kemudahan ini sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui pada Sesi Tinjauan Media sempena Hari Pertama Operasi Laluan Shah Alam di Stesen LRT Glenmarie 2 dan Bandar Utama di sini, hari ini.
Sementara itu, pekerja swasta Samantha Fong, 26, berharap LRT3 menyediakan koc wanita bagi menambah keselesaan penumpang wanita.
“Saya amat berpuas hati dengan tahap perkhidmatan dengan perjalanan pertama menggunakan LRT3 berjalan lancar dengan tempoh menunggu tren yang singkat, iaitu kira-kira dua minit,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Reynchie Lee, 26, berpendapat penyediaan koc wanita mampu meningkatkan aspek keselamatan selain memberi keyakinan kepada lebih ramai wanita untuk menggunakan pengangkutan awam.
Beliau turut menyifatkan inisiatif tambang percuma selama sebulan mampu menggalakkan lebih ramai pengguna beralih kepada penggunaan LRT3, khususnya pelajar dan pekerja swasta.
Bagi pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Nur Qamarina Mohd Alimi, 22, pembukaan LRT3 memudahkan perjalanannya ke kampus selain membantu merancang jadual kuliah dengan lebih teratur.
“Sebelum ini, saya bergantung kepada perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Padang Jawa, namun mendapati perjalanan menggunakan LRT3 lebih pantas dan selesa.
“Tambang percuma selama sebulan juga sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban perbelanjaan harian saya sebagai pelajar,” ujarnya.

Pada Majlis Pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh LRT Johan Setia semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambang percuma selama sebulan bagi perkhidmatan LRT3 Shah Alam dan bas perantaranya, bermula hari ini hingga 31 Julai.
LRT3 Laluan Shah Alam merupakan pelaburan strategik kerajaan bernilai RM16.63 bilion bagi memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara.
Laluan sepanjang 37.8 kilometer itu menghubungkan Johan Setia dan Bandar Utama menerusi 20 stesen.









