KLANG, 29 JUN: Ketika jenama dan peniaga terus memanfaatkan platform digital untuk mendekati pengguna, ruang fizikal yang hidup dengan aktiviti kini semakin penting dalam membina pengalaman, kepercayaan dan hubungan komuniti secara langsung.
Di GM Klang, suasana ini dapat dilihat melalui permintaan yang semakin meningkat terhadap ruang-ruang guna sama bagi penganjuran festival makanan, reruai pop-up, jualan promosi, aktivasi jenama dan program komuniti inklusif, termasuk pengisian bersama golongan Orang Kurang Upaya (OKU) serta komuniti setempat.
Sejak pelancaran Dataran GM Klang pada November lalu, kawasan berkeluasan kira-kira separuh padang bola itu semakin mendapat perhatian sebagai lokasi pilihan bagi penganjuran aktiviti komuniti dan program hujung minggu.
Selain Dataran GM Klang, ruang popular seperti Podium Blok B dan Atrium turut terus menerima minat yang memberangsangkan, di samping ruang-ruang lain yang tersedia untuk digunakan mengikut kesesuaian konsep, kapasiti dan keperluan penganjur.
Perkembangan ini menjadikan GM Klang lebih meriah dengan pelbagai pengisian yang dekat dengan pengunjung.

Menurut Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang, Norsuhaida Othman, sambutan terhadap penggunaan ruang guna sama ini menunjukkan bahawa pusat komersial fizikal masih mempunyai potensi besar apabila diaktifkan dengan kandungan dan pengalaman yang sesuai.
“Pusat komersial hari ini tidak boleh hanya bergantung kepada fungsi jual beli semata-mata. Pengunjung mahukan pengalaman, pemborong mahukan pendedahan, manakala jenama dan penganjur memerlukan ruang yang boleh menghubungkan mereka secara langsung dengan komuniti.”
“Sebab itu, peningkatan permintaan terhadap ruang seperti Dataran GM Klang, Podium Blok B dan Atrium adalah satu perkembangan positif yang memperlihatkan GM Klang semakin diterima sebagai platform aktivasi yang hidup, fleksibel dan dekat dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, GM Klang sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk penganjur acara, komuniti, jenama tempatan, institusi pendidikan, persatuan dan rakan perniagaan yang mahu membawakan pengisian berkualiti kepada orang ramai.
“Antara pengisian yang dijangka terus memeriahkan GM Klang termasuk festival makanan, reruai pop-up, aktiviti jualan, kempen promosi, program komuniti serta sambutan bertema seperti Ambang Merdeka dan Tahun Baharu.”
“Kami juga sedang merancang beberapa tarikan berskala lebih besar termasuk Persembahan ‘Projection Mapping’ Berskala Besar Eksklusif 2026 sebagai usaha memperkukuh pengalaman pengunjung dan menjadikan ruang komersial fizikal lebih interaktif, menarik serta relevan dengan generasi pengguna baharu sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2026,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pengaktifan ruang komersial di GM Klang bukan sekadar bertujuan mengisi kalendar acara, tetapi menjadi sebahagian daripada usaha membina pengalaman yang lebih seronok, inklusif dan berkesan untuk pengunjung serta rakan kolaborasi.

“Kami mahu setiap program yang berlangsung di GM Klang memberi nilai kepada semua pihak. Termasuk pengunjung mendapat pengalaman baharu, pemborong mendapat manfaat dari aliran trafik, manakala penganjur mempunyai ruang yang sesuai untuk mendekati komuniti secara langsung.”
“Dengan pendekatan ini, GM Klang akan terus diperkukuh sebagai destinasi komersial yang aktif, terbuka dan dekat dengan masyarakat, khususnya di Klang dan kawasan sekitarnya,” katanya lagi.
Siaran media ini dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Jenama GM Klang. Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan media, sila hubungi Puan Nurhani Yasmeen di talian 012-2851152 atau emel ke yasmeen@gmklang.com.










