Isu pengebumian jenazah: MAIS adakan pertemuan segera dengan pihak terlibat

29 Jun 2026, 1:58 AM
Isu pengebumian jenazah: MAIS adakan pertemuan segera dengan pihak terlibat

SHAH ALAM, 29 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengarahkan pertemuan segera melibatkan semua pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik susulan dakwaan kelewatan urusan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang.

Pengerusinya, Dato' Setia Salehuddin Saidin berkata pertemuan itu membabitkan wakil MAIS, waris yang terlibat, pengurusan Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam, Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai sebahagian tekad pihaknya menyelesaikan isu berkenaan.

"MAIS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga waris yang terlibat dalam isu dakwaan kelewatan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang dan menzahirkan rasa dukacita atas insiden yang berlaku kepada waris di saat mereka kehilangan insan tersayang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut mengambil maklum kenyataan media JAIS bertarikh 27 Jun lalu berhubung hasil siasatan awal berdasarkan maklumat daripada pengurusan Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam.

Beliau berkata, pengurusan Masjid Nurul Hidayah, waris yang terlibat dan BKS juga telah membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Sehubungan itu, katanya, MAIS menasihatkan semua pihak supaya memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara telus dan adil.

"Semua dapatan hasil siasatan pihak polis, sama ada dari aspek jenayah, kecuaian atau salah faham komunikasi antara pihak-pihak yang terlibat akan diambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab.

"Hal ini adalah untuk memastikan insiden yang sama tidak berulang pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata MAIS turut akan menilai semula pengurusan jenazah orang Islam yang dilaksanakan pihak pengurusan masjid bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan.

"Hal ini adalah untuk memastikan pengurusan jenazah orang Islam dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah, teratur dan cekap serta memenuhi tuntutan hukum syarak," katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat Islam agar terus memperkukuh ukhuwah dan tidak menjadikan perbezaan pandangan sebagai punca perpecahan atau kebencian.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan berlaku pertikaian dalam urusan pengurusan jenazah sehingga proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana tertangguh lebih sejam.

Menerusi hantaran itu, sebuah badan kebajikan mendakwa menguruskan jenazah atas permintaan waris, namun timbul isu berkaitan permit pengebumian serta dakwaan caj RM1,400 yang dikatakan dikenakan pihak pengurusan masjid.

Hantaran itu turut mendakwa proses pengebumian hanya dapat diteruskan selepas wakil pengurusan masjid hadir di tanah perkuburan berkenaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.