Masjid pusat komuniti utama, semarak ukhuwah, perkasa agenda dakwah

28 Jun 2026, 12:00 PM
Masjid pusat komuniti utama, semarak ukhuwah, perkasa agenda dakwah
Masjid pusat komuniti utama, semarak ukhuwah, perkasa agenda dakwah
Masjid pusat komuniti utama, semarak ukhuwah, perkasa agenda dakwah
Masjid pusat komuniti utama, semarak ukhuwah, perkasa agenda dakwah

RAWANG, 28 JUN: Masjid perlu dimanfaatkan secara optimum sebagai pusat komuniti utama yang mampu menyemarakkan ukhuwah serta memperkukuh usaha dakwah dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dato' Setia Salehuddin Saidin berkata, agensi agama di peringkat negeri juga perlu terus memperkukuh kerjasama strategik bagi melaksanakan agenda dakwah dan pengurusan hal ehwal Islam secara lebih tersusun serta berkesan.

Menurutnya, setiap agensi agama perlu menjadi cerminan antara satu sama lain dengan mengamalkan budaya saling menasihati, memperbetul dan memperkukuh peranan masing-masing supaya setiap gerak kerja dapat dilaksanakan secara lebih bersepadu demi kepentingan umat serta negara.

“Agensi agama mesti menjadi cermin antara satu sama lain, saling menasihati, memperbetul dan memperkukuh peranan bersama kerana inilah asas kepada kekuatan jemaah, bukan bergerak bersendirian, tetapi berjalan seiring demi kepentingan umat dan negara.

“Terus perkukuhkan perpaduan umat Islam dan sentiasa mempertingkatkan keikhlasan dan komitmen dalam memartabatkan syiar Islam, gunakanlah masjid sebagai pusat komuniti utama medan ukhuwah dan dakwah,” katanya.

Beliau berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Karnival Agensi Islam Selangor 2026 di Masjid Cahaya Iman Country Homes, di sini, hari ini.

Menurutnya, siri jelajah Karnival Agensi Islam Negeri Selangor 2026 Zon 1 meliputi daerah Gombak, Petaling dan Hulu Selangor itu merupakan penganjuran yang julung kali yang mengumpulkan pelbagai agensi agama peringkat negeri.

Ia melibatkan pelbagai pengisian bermanfaat termasuk jualan produk muslim dan jualan Rahmah, klinik bimbingan halal, klinik hukum, klinik rukun qauli, kembara motosikal, fun run, zikir walk, sukan komuniti dan malam kesenian Islam.

Tambahnya, karnival berkenaan akan diteruskan bagi Zon 2 yang akan diadakan di Masjid Puncak Alam pada 3 hingga 5 Julai meliputi daerah Kuala Selangor, Klang dan Sabak Bernam dan seterusnya Zon 3 iaitu siri jelajah terakhir di Masjid Jamek As-Solihin Kanchong Darat, Banting pada 10 hingga 12 Julai meliputi daerah Kuala Langat, Sepang dan Hulu Langat.

“Penyertaan warga agensi agama dalam pelbagai acara ini bukan sahaja menyemarakkan semangat ukhuwah, malah menjadi wahana memperkukuh perpaduan umat Islam dan mempertingkat keikhlasan serta komitmen dalam memartabatkan syiar Islam, seterusnya membentuk rumpun keluarga besar agensi agama yang harmoni dan bersatu padu bersama masyarakat.

“Pameran agensi telah berjaya menghimpunkan pegawai dan kakitangan agama dari seluruh Selangor demi memantapkan peranan agensi agama dalam tadbir urus serta mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan Islam kepada masyarakat,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.