SHAH ALAM, 14 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerima sumbangan 1,000 pek bakul makanan daripada rangkaian runcit 99 Speedmart untuk diagihkan kepada golongan asnaf sempena Aidilfitri.
MAIS memaklumkan, setiap pek bantuan mengandungi barangan keperluan harian seperti bungkusan ketupat nasi segera, bijirin sarapan, santan, biskut, keropok kentang serta air minuman.
Pengerusinya, Dato’ Salehuddin Saidin berkata pihaknya mengalu-alukan penglibatan lebih banyak syarikat korporat dan perniagaan untuk mencontohi inisiatif yang dilaksanakan 99 Speedmart.
"Saya amat menggalakkan mereka di luar sana turut mencontohi 99 Speedmart yang telah bekerjasama dengan MAIS sejak 2021 lagi.
“Terima kasih diucapkan kepada 99 Speedmart atas keprihatinan untuk turun menyumbang kepada mereka yang memerlukan," katanya dalam kenyataan.
Penyerahan simbolik sumbangan tersebut disempurnakan oleh Salehuddin yang menerima bakul makanan berkenaan daripada Ketua Pegawai Operasi 99 Speedmart, Yong Eng Kwang di pejabat MAIS semalam.
Turut hadir Setiausaha MAIS Mohd Sabirin Mohd Sarbini; Ketua Operasi Agihan Daerah Petaling, Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) Mohamad Shahril Ritin serta Ketua Bahagian Komunikasi Korporat MAIS Noormala Mohd Sa’ad.
Pada majlis berkenaan, seramai 10 penerima terpilih menerima sumbangan pek makanan secara langsung.
Agihan selebihnya akan diteruskan oleh Zakat Selangor kepada golongan asnaf di sekitar daerah Petaling.








