RAWANG, 28 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih menunggu ketetapan kerajaan Persekutuan berhubung tindakan lanjut terhadap 226 warga asing yang diperiksa dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di sebuah premis di Petaling Jaya disyaki mempunyai kaitan dengan fahaman Syiah.
Pengarahnya Dato' Mohd Shahzihan Ahmad berkata, sebarang tindakan susulan hanya akan diputuskan selepas menerima garis panduan dan keputusan daripada kerajaan Persekutuan memandangkan kes itu melibatkan warga asing.
“Sebab semua orang luar, jadi kita tengah tunggu keputusan, daripada Persekutuan bagaimana mendepani syiah yang daripada luar (negara luar).
“(Setakat ini) kita tangguhkan dulu untuk yang itu, kita tunggu keputusan Persekutuan. Jadi di peringkat kita tiada. Tapi ada di bawah PBT (pihak berkuasa tempatan) dan juga bawah agensi lain,” katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Karnival Agensi Islam Selangor 2026 di Masjid Cahaya Iman Country Homes, di sini.
Beliau mengulas perkembangan terkini 226 warga asing yang diperiksa dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di sebuah premis di Petaling Jaya yang disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran Syiah, pada 25 Jun lalu.
Tegas Shahzihan tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksana bagi membanteras sebarang aktiviti berkaitan Syiah di negeri ini termasuk melalui kerjasama bersepadu dengan pelbagai agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan agama di peringkat negeri.

“Semua aktiviti syiah kita akan benteras dan kekang termasuklah yang kita ambil tindakan pada Khamis lalu dan kita akan ambil tindakan seterusnya. Kita buat dengan pelbagai agensi,” katanya.
Terdahulu, seramai 226 warga asing diperiksa dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di sebuah premis di Petaling Jaya yang disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran Syiah, pada 25 Jun.
Operasi diketuai JAIS bersama lima agensi lain hasil maklumat awam melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Jalan PJS 9/1A, Pusat Perdagangan Lagoon Perdana, kira-kira jam 9.34 malam.
JAIS memaklumkan tindakan itu dijalankan mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, melibatkan siasatan di bawah Seksyen 12(c) berkaitan menghina pihak berkuasa agama, Seksyen 13 berhubung penyebaran pendapat yang bertentangan dengan fatwa serta Seksyen 16 berkaitan penerbitan yang bertentangan dengan hukum syarak.
Operasi bersepadu itu melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Dalam operasi sama, MBSJ turut mengeluarkan notis di bawah Subseksyen 72(1)(a) dan (c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] susulan beberapa ketidakpatuhan berkaitan pembinaan serta pengubahsuaian bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan dan premis diberi tempoh 14 hari untuk mematuhi kehendak notis berkenaan.










