Premis disyaki sebar ajaran Syiah diserbu, 226 warga asing diperiksa

27 Jun 2026, 8:01 AM
Premis disyaki sebar ajaran Syiah diserbu, 226 warga asing diperiksa
Premis disyaki sebar ajaran Syiah diserbu, 226 warga asing diperiksa

SHAH ALAM, 27 JUN: Seramai 226 warga asing diperiksa dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di sebuah premis di Petaling Jaya yang disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran Syiah, pada Khamis.

Operasi diketuai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama lima agensi lain hasil maklumat awam melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Jalan PJS 9/1A, Pusat Perdagangan Lagoon Perdana, kira-kira jam 9.34 malam.

JAIS memaklumkan tindakan itu dijalankan mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, melibatkan siasatan di bawah Seksyen 12(c) berkaitan menghina pihak berkuasa agama, Seksyen 13 berhubung penyebaran pendapat yang bertentangan dengan fatwa serta Seksyen 16 berkaitan penerbitan yang bertentangan dengan hukum syarak.

"Hasil pemeriksaan mendapati seramai 226 individu berada di dalam premis berkenaan, terdiri daripada 147 lelaki, 51 wanita dan 28 kanak-kanak, yang kesemuanya warga Pakistan, India dan Bangladesh," maklumnya menerusi kenyataan.

Menurutnya, operasi bersepadu itu melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), dengan kekuatan keseluruhan 120 anggota.

Dalam operasi sama, MBSJ turut mengeluarkan notis di bawah Subseksyen 72(1)(a) dan (c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] susulan beberapa ketidakpatuhan berkaitan pembinaan serta pengubahsuaian bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.

“Pemilik premis diberi tempoh 14 hari untuk mematuhi kehendak notis berkenaan,” kataya.

JAIS menegaskan pihaknya akan terus mempergiat usaha membanteras dan mengekang penyebaran ajaran Syiah di Selangor selain menasihatkan umat Islam tidak terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan menyalurkannya menerusi Hotline JAIS di talian 1800-88-2424 bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.