Warga Australia ditahan selepas mayat remaja ditemukan dalam beg pakaian

28 Jun 2026, 12:00 AM
Warga Australia ditahan selepas mayat remaja ditemukan dalam beg pakaian

BANGKOK, 27 JUN: Polis Thailand menahan seorang lelaki warga Australia yang cuba meninggalkan negara itu susulan penemuan mayat seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dalam sebuah beg pakaian di kawasan tumpuan pelancong Pattaya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik laporan media pada Sabtu.

Lelaki itu, yang kali terakhir dilihat bersama remaja perempuan tempatan berkenaan di Pattaya, dituduh membunuh mangsa, menurut laporan media tempatan dan Australia yang memetik polis.

Suspek yang berusia lingkungan 40-an itu ditahan pada Jumaat di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok sebelum dibawa semula ke Pattaya untuk disoal siasat.

Dua jam sebelum itu, rakan-rakan mangsa melaporkan remaja berkenaan hilang di bandar peranginan itu, menurut ABC News Australia.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa memasuki hotel suspek pada awal pagi Khamis sambil berpegangan tangan dengannya, menurut penyiar itu.

Rakaman seterusnya menunjukkan suspek meninggalkan hotel seorang diri sambil menarik sebuah beg pakaian besar yang jelas kelihatan berat.

Kamera pengawasan jalanan menunjukkan suspek meletakkan beg pakaian itu di atas sebuah motosikal sebelum menunggang di sepanjang landasan kereta api.

Pasukan kecemasan kemudian menemukan mayat mangsa di lokasi sama, kira-kira 10 minit perjalanan dari hotel berkenaan.

Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian dan wajahnya menunjukkan kesan kecederaan akibat keganasan yang serius.

Polis percaya lelaki itu membunuh remaja berkenaan, dengan kesan calar pada tubuh suspek menunjukkan mangsa telah melawan.

Laporan yang bercanggah menyatakan lelaki itu sama ada menafikan tuduhan berkenaan atau mengaku melakukan pembunuhan itu, namun mendakwa beliau bertindak untuk mempertahankan diri.

Pihak berkuasa turut menuduh suspek membawa kanak-kanak bawah umur itu "bagi tujuan melakukan perbuatan tidak senonoh."

Menurut ABC, kesalahan membunuh di Thailand boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.