SHAH ALAM, 28 JUN: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) yakin pengurangan kadar sewa sebanyak 30 peratus mampu mengurangkan beban peniaga tanpa menjejaskan kedudukan kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
MPKS dalam kenyataan memaklumkan langkah itu merupakan intervensi bersasar bagi membantu peniaga berdepan tekanan ekonomi semasa, sekali gus mengurangkan risiko tunggakan sewa dan penutupan premis perniagaan.
“MPKS akan terus memperkukuh usaha meningkatkan kutipan hasil daripada pelbagai sumber termasuk cukai taksiran, tunggakan cukai dan hasil bukan cukai (lesen perniagaan, bayaran perkhidmatan dan sewaan aset) bagi memastikan kedudukan kewangan majlis kekal stabil.
“Selain itu, langkah penjimatan dan pengoptimuman perbelanjaan turut dilaksanakan tanpa menjejaskan mutu penyampaian perkhidmatan kepada penduduk,” katanya menurut kenyataan.
Menurut MPKS, pelaksanaan inisiatif berkenaan dijangka memberi pulangan positif kepada majlis melalui peningkatan kadar pematuhan pembayaran serta kutipan hasil yang lebih baik dalam jangka panjang.
MPKS turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat dan komuniti perniagaan di samping memastikan tadbir urus kewangan yang cekap serta mampan.
Sebelum ini, Yang Dipertua MPKS Mohamad Hanafe Basri menyambut baik pengumuman Kerajaan Negeri berhubung pengurangan kadar sewa premis milik PBT sebanyak 30 peratus selama enam bulan bermula Julai hingga Disember ini.
Beliau berkata inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 itu melibatkan 814 penyewa premis di bawah seliaan MPKS dengan kos pelaksanaan dianggarkan RM346,140 bagi tempoh enam bulan.
Pada 19 Jun lalu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan pengurangan kadar sewa premis milik PBT sebanyak 30 peratus bagi tempoh enam bulan bermula Julai sebagai sebahagian daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2.
Beliau berkata langkah itu bertujuan membantu peniaga berdepan kesan krisis bekalan dan tenaga global sekali gus memberi manfaat kepada 21,234 penyewa premis PBT di seluruh Selangor.








