Tiga premis ditutup, 18 kompaun dikeluarkan di Puncak Alam

16 Okt 2026, 4:37 AM
Tiga premis ditutup, 18 kompaun dikeluarkan di Puncak Alam

SHAH ALAM, 16 OKT: Tiga premis perniagaan ditutup manakala 18 kompaun dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Premis Warga Asing oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di Pusat Niaga Astana Alam, Bandar Puncak Alam, semalam.

MPKS memaklumkan operasi itu dijalankan susulan aduan awam dan pemantauan pihak berkuasa yang mendapati terdapat premis menjalankan perniagaan tanpa lesen sah serta melanggar syarat pelesenan.

Menurutnya, tujuh premis membabitkan kedai runcit, kedai produk kesihatan dan pusat cuci kenderaan diperiksa dalam operasi yang disertai 40 anggota MPKS bersama beberapa agensi penguatkuasaan lain.

"Hasil pemeriksaan turut menyaksikan empat notis dikeluarkan selain empat tindakan sitaan dan rampasan direkodkan.

"Kesalahan yang dikenal pasti termasuk menjalankan perniagaan dan mempamerkan iklan tanpa lesen, tidak mematuhi syarat lesen, gagal menjaga kebersihan premis, membuang sisa ke dalam longkang serta meletakkan barangan perniagaan di kaki lima atau tempat awam tanpa kebenaran," katanya menerusi Facebook.

Anggota penguat kuasa MPKS mengendalikan peralatan perniagaan yang disita daripada pusat cuci kenderaan tanpa lesen ketika operasi bersepadu di Bandar Puncak Alam, 15 Oktober 2026. Foto Facebook MPKS

MPKS turut mengambil tindakan terhadap premis yang melakukan pengubahsuaian dalaman dan melanggar peruntukan undang-undang.

Sementara itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Selangor mengeluarkan kompaun atas kesalahan berkaitan paparan maklumat pendaftaran perniagaan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kuala Selangor pula mengambil tindakan terhadap penggunaan alat timbang yang tidak ditentusahkan.

Dalam operasi sama, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor merampas rokok disyaki tidak bercukai, selain membawa seorang individu ke pejabat bagi membantu siasatan lanjut.

MPKS turut menyita peralatan perniagaan di dua pusat cuci kenderaan yang beroperasi tanpa lesen, termasuk pam air, mesin vakum, mesin kompresor dan peralatan mencuci kenderaan.

Operasi bersepadu itu membabitkan Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran serta Jabatan Pelesenan MPKS dengan kerjasama JKDM Selangor, SSM Selangor dan KPDN Cawangan Kuala Selangor.

"MPKS akan terus komited menjalankan operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi memastikan pengusaha mematuhi undang-undang dan syarat pelesenan ditetapkan," katanya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.