Basmi kemiskinan bandar, luar bandar

27 Jul 2026, 3:00 AM
Basmi kemiskinan bandar, luar bandar

SHAH ALAM, 27 JULAI: Usaha menangani masalah kemiskinan tidak seharusnya menggunakan pendekatan sama kerana keperluan kelompok sedemikian di bandar dan luar bandar berbeza.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu memberitahu tindakan itu juga perlu dilakukan secara bersasar dengan mengambil kira perbezaan cabaran yang dihadapi kedua-dua golongan tersebut.

Katanya, kemiskinan di bandar dipengaruhi kos pengangkutan dan kos sara hidup tinggi manakala penduduk luar bandar lebih memerlukan infrastruktur, peluang kerja dan pembangunan ekonomi.

“Selangor merupakan negeri yang mempunyai tahap urbanisasi tinggi menyebabkan majoriti isi rumah miskin berada di kawasan bandar. Namun, keperluan mereka berbeza dengan masyarakat luar bandar yang memerlukan pendekatan tersendiri,” kata beliau kepada Media Selangor.

Menurutnya, Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Skim Smart Sewa, Bas Smart Selangor dan Baucar Jom Shopping disediakan bagi meringankan beban kedua-dua golongan itu.

Beliau berkata Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) yang memfokus sektor pertanian, agropelancongan dan penambahbaikan infrastruktur termasuk internet disenarai dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Papparaidu menjelaskan Bantuan Peralatan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor pula bertujuan memperkasa usahawan berpendatan rendah (B40) melalui penyediaan peralatan niaga.

“Bantuan ini mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan usahawan B40 khususnya ibu tunggal yang memerlukan peralatan bagi mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan.

“Sebagai contoh, pemberian mesin jahit industri bukan sahaja membantu menjimatkan kos menyewa mesin, malah mempercepat proses pengeluaran sekali gus meningkatkan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada masyarakat India dan Melayu di kawasan pedalaman berikutan ramai hanya menamatkan pendidikan pada peringkat sekolah rendah.

Katanya, kekangan akses ke institusi pendidikan lebih besar di kawasan bandar menjadi antara faktor yang perlu diberi perhatian bagi meningkatkan mobiliti sosial golongan berkenaan.

Selain itu, Papparaidu berkata pihaknya juga mengadakan siri lawatan ke setiap daerah bagi meneliti keperluan masyarakat Orang Asli dan mengenal pasti masalah yang memerlukan tindakan segera.

“Saya juga mengarahkan 62 Tok Batin di Selangor supaya memastikan setiap kanak-kanak di kampung Orang Asli mendapat akses kepada pendidikan dan tidak tercicir daripada sistem persekolahan.

“Pendidikan merupakan jalan utama untuk memutuskan rantaian kemiskinan. Justeru, kita mahu memastikan setiap kanak-kanak memperoleh peluang pendidikan yang sewajarnya."

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.