Media rakan strategik PBT sampaikan maklumat kepada rakyat

27 Jun 2026, 8:00 AM
Media rakan strategik PBT sampaikan maklumat kepada rakyat
Media rakan strategik PBT sampaikan maklumat kepada rakyat

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Media memainkan peranan penting sebagai rakan strategik pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap dasar, inisiatif serta penyampaian perkhidmatan awam.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato' Mohamad Zahri Samingon berkata peranan media kini melangkaui fungsi sebagai penyampai berita apabila menjadi penghubung utama antara PBT dengan masyarakat.

Menurutnya, meskipun setiap PBT mempunyai unit komunikasi korporat, capaian luas media menerusi pelbagai platform menjadikan kerjasama antara kedua-dua pihak semakin penting dalam memastikan maklumat disampaikan secara berkesan kepada rakyat.

“Media bukan sekadar menyampaikan berita, sebaliknya menjadi rakan strategik dalam membentuk kefahaman masyarakat terhadap dasar dan perkhidmatan awam selain menyalurkan maklumat yang tepat dan sahih kepada pelbagai lapisan komuniti.

“Media juga berperanan sebagai penghubung antara PBT dan komuniti. Justeru, kerjasama strategik ini perlu terus diperkasakan bagi memastikan penyampaian maklumat memberi impak positif kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Anugerah Media Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2026 di M Resort dan Hotel di sini, semalam.

Mohamad Zahri turut memaklumkan sebanyak 2,143 liputan berkaitan MBPJ direkodkan sepanjang tahun ini, membabitkan 788 laporan media cetak dan 1,355 laporan media dalam talian.

Katanya, penganjuran Anugerah Media MBPJ 2026 yang merangkumi 14 kategori merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan pengamal media atas sumbangan mereka dalam menyampaikan maklumat tepat, berkesan dan menyeluruh kepada masyarakat.

Antara kategori dipertandingkan termasuk Anugerah Khas Media Datuk Bandar, Anugerah Laporan Khas Terbaik (Media Cetak, Elektronik dan Digital) serta Anugerah Penerbitan Artikel Terbaik (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina).

Setiap pemenang menerima hadiah wang tunai berserta trofi dan sijil sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam memperkukuh penyampaian maklumat serta mempromosikan pelbagai inisiatif dan perkhidmatan MBPJ kepada masyarakat.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.