EXCO: JAIS diarah siasat segera dakwaan halang pengebumian di Ampang

27 Jun 2026, 2:00 AM
EXCO: JAIS diarah siasat segera dakwaan halang pengebumian di Ampang

RAWANG, 27 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diarah menyiasat segera dakwaan pengurusan Masjid Nurul Hidayah menghalang urusan pengebumian di Ampang, Khamis lalu.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata siasatan perlu dilakukan secara terperinci bagi memastikan perkara sebenar dikenal pasti sekali gus mengelakkan sebarang fitnah terhadap mana-mana pihak.

“Kenyataan rasmi masih diperincikan oleh pihak JAIS sebab kita masih mendapatkan apa maklumat yang sebenarnya yang sebelum kita buat sebarang kenyataan lah

“JAIS sedang teliti… tadi pun saya dah berhubung dengan Dato' Pengarah saya pun masih menunggu kenyataan rasmi daripada mereka, serah pada pihak JAIS.

“Cadangan saya kepada Dato' Pengarah sesegera mungkin tapi saya rasa JAIS juga harus mengambil masa untuk meneliti dengan seteliti-telitinya apakah perkara yang sebenarnya berlaku supaya tak timbul fitnah dan sebagainyalah,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis perasmian Karnival Agensi Islam Selangor Zon 1 di Masjid Cahaya Iman Bandar Country Homes di sini semalam.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan berlaku pertikaian dalam urusan pengurusan jenazah sehingga proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana tertangguh lebih sejam.

Menerusi hantaran tular itu, sebuah badan kebajikan mendakwa telah menguruskan jenazah atas permintaan waris, namun timbul isu berkaitan permit pengebumian serta dakwaan caj RM1,400 yang dikatakan dikenakan oleh pihak pengurusan masjid.

Hantaran itu turut mendakwa proses pengebumian hanya dapat diteruskan selepas wakil pengurusan masjid hadir di tanah perkuburan tersebut.

Susulan itu, pihak pengurusan masjid menyerahkan sepenuhnya kepada JAIS untuk menjelaskan kontroversi itu.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.