SHAH ALAM, 26 JUN: Kerja pembaikan ban yang pecah di Bukit Changgang, Kuala Langat kini mencapai kira-kira 80 peratus, sekali gus mempercepatkan usaha pemulihan kawasan yang terjejas banjir.
Pegawai Daerah Kuala Langat, Tengku Rohana Tengku Nawawi berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor sedang giat melaksanakan kerja menambak kawasan ban yang pecah.
Menurut beliau, keadaan banjir turut menunjukkan perkembangan positif apabila hanya beberapa kawasan rendah, terutama di sekitar rumah dan parit masih digenangi air.
"Kerja pembaikan ban sedang dilaksanakan oleh JPS dan kawasan rebakan yang terjejas telah ditambak kira-kira 80 peratus.
"Dari segi keadaan banjir air telah surut banyak. Hanya tinggal beberapa kawasan rendah yang masih digenangi air," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau berkata perkhidmatan pemeriksaan kesihatan di pusat pemindahan sementara (PPS) turut diteruskan bagi memastikan kebajikan dan kesihatan mangsa banjir terus terpelihara.
Katanya, seramai lima petugas kesihatan ditempatkan di PPS bagi memantau keadaan kesihatan mangsa.
Menurut statistik Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, seramai 546 mangsa daripada 250 keluarga masih ditempatkan di PPS, membabitkan 295 lelaki dan 251 wanita.
Daripada jumlah itu, 241 ialah lelaki dewasa, diikuti 166 wanita dewasa, 156 kanak-kanak, 10 bayi, 28 warga emas serta 17 orang kurang upaya (OKU).








