1,400 peniaga premis MDSB nikmati diskaun sewa 30 peratus

27 Jun 2026, 5:00 AM
1,400 peniaga premis MDSB nikmati diskaun sewa 30 peratus

SHAH ALAM, 27 JUN: Seramai 1,400 peniaga di premis seliaan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) bakal menikmati pengurangan kadar sewa sebanyak 30 peratus bagi tempoh enam bulan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2.

MDSB memaklumkan pelaksanaan inisiatif itu membabitkan komitmen kewangan sebanyak RM60,000 sebulan atau RM360,000 sepanjang tempoh Julai hingga Disember.

“Jumlah tersebut ditanggung MDSB daripada kutipan sewaan bulanan premis yang dianggarkan sebanyak RM200,000 dengan majlis turut merangka beberapa langkah bagi memastikan pengurangan hasil itu dapat diimbangi.

“Pengurangan kadar sewa ini diharap dapat memberi sedikit kelegaan kepada peniaga khsususnya dalam menghadapi peningkatan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa," maklumnya menerusi kenyataan,

Bagi memastikan kedudukan kewangan kekal stabil, MDSB akan melaksakan beberapa langkah antaranya mempergiat kutipan hasil tertunggak, meneroka sumber hasil baharu serta memperkukuh kawalan perbelanjaan.

Menurut MDSB, pendekatan itu membolehkan bantuan kepada peniaga diteruskan tanpa menjejaskan keupayaan majlis dalam menyampaikan perkhidmatan kepada penduduk.

Sebelum ini, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan pengurangan kadar sewa premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak 30 peratus bagi tempoh enam bulan bermula Julai hingga Disember.

Beliau berkata, inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 itu bertujuan membantu peniaga menghadapi kesan krisis bekalan dan tenaga global, sekali gus memberi manfaat kepada 21,234 penyewa premis PBT di seluruh Selangor.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4.5 juta bagi melaksanakan bantuan itu yang akan disalurkan secara automatik tanpa memerlukan sebarang permohonan daripada penyewa.

Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 diumumkan pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor sebagai langkah membantu rakyat dan sektor perniagaan menghadapi peningkatan kos susulan gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan pasaran tenaga global.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.