ad

RM10 juta pacu pembangunan Sabak Bernam, pesisir pantai antara tarikan baharu

14 Nov 2025, 7:59 AM
RM10 juta pacu pembangunan Sabak Bernam, pesisir pantai antara tarikan baharu
RM10 juta pacu pembangunan Sabak Bernam, pesisir pantai antara tarikan baharu
RM10 juta pacu pembangunan Sabak Bernam, pesisir pantai antara tarikan baharu

SHAH ALAM, 14 NOV: Kawasan sekitar Sabak Bernam akan dibangunkan dengan dana padanan berjumlah RM10 juta dengan sebahagiannya merupakan peruntukan dikeluarkan negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata ia merangkumi kerja pengubahsuaian bangunan Hay Resort dan Pantai Bumi Hijau, seiring pembangunan rancangan Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA).

“Ini sebagai tarikan baharu di kawasan pesisir pantai barat memandangkan lokasi itu telah terbiar terlalu lama.

“Untuk itu RM5 juta diperuntukkan kepada Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dengan RM5 juta lagi diusahakan pihak majlis menerusi kaedah padanan 1:1 untuk memangkin kawasan tersebut.

“Bagi keselesaan pengguna lebuh raya, kawasan rehat dan rawat (R&R) Sabak Bernam bersebelahan jajaran Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) akan dibangunkan oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad bagi membangunkan lagi kawasan itu serta memberikan peluang berniaga kepada komuniti tempatan.

“Selain itu satu Pusat Pengumpulan Hasil Tani Koperasi Selangor akan dibangunkan bagi merancakkan aktiviti pertanian,” katanya ketika membentang Belanjawan Selangor 2026 hari ini.

Amirudin berkata sembilan projek terangkum dalam Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS) kini dalam fasa kebenaran merancang dan pelaksanaan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

SABDA dan IDRISS merupakan antara projek besar terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibangunkan bagi membentuk ekonomi mampan selain sebagai pelan mendepani ekonomi global.