
SHAH ALAM, 28 JUN: Ibu bapa tidak seharusnya menjadikan telefon pintar atau tablet sebagai "peranti pengasuh" kerana peranan membimbing dan mendidik anak-anak tidak boleh digantikan oleh teknologi, kata Pensyarah Kanan Kaunseling Taylor's University, Dr Ahmad Mustaqim Yusoff.
Beliau berkata penggunaan gajet bukan satu kesalahan, namun ia perlu disertai dengan pemantauan ibu bapa bagi memastikan anak-anak mengakses kandungan yang sesuai dengan usia serta tahap kematangan mereka.
"Istilah pengasuh digital sepatutnya tidak wujud kerana peranan itu hanya boleh dimainkan oleh ibu bapa atau penjaga," katanya menerusi program Bicara Semasa bertajuk 'Membesarkan Anak Dalam Dunia Digital' terbitan Media Selangor.

Dr Ahmad Mustaqim berkata dalam era digital, ibu bapa tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan keibubapaan konvensional semata-mata, sebaliknya perlu menguasai kemahiran digital parenting atau asuhan digital bagi membimbing anak menggunakan teknologi secara selamat dan bertanggungjawab.
Katanya, kemahiran itu merangkumi pemantauan penggunaan gajet, menetapkan had masa skrin, memahami kandungan yang diakses anak-anak serta mendidik mereka mengenai risiko yang wujud di alam siber.
Di Malaysia, kajian menunjukkan kanak-kanak berumur antara 2 hingga 17 tahun menghabiskan purata 3 hingga 4 jam pada skrin, dengan telefon pintar menjadi pilihan utama dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

Had umur 16 tahun langkah lindungi kanak-kanak
Beliau berkata penetapan had umur minimum 16 tahun untuk membuka akaun media sosial merupakan langkah proaktif bagi melindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian seperti eksploitasi data, buli siber dan kandungan berbahaya.
Menurutnya, langkah itu bukan bertujuan menyekat kebebasan kanak-kanak menggunakan teknologi, sebaliknya memastikan mereka hanya mengakses platform digital apabila mencapai tahap kematangan yang lebih sesuai.
"Penggunaan teknologi memang tidak dapat dielakkan. Persoalannya ialah bagaimana kita mengurus dan mengawal supaya implikasi negatif tidak terlalu terdedah kepada generasi muda kerana ia boleh menjejaskan perkembangan fizikal, mental dan sosial mereka," katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan sedang melaksanakan pengesahan umur pengguna media sosial secara berperingkat menerusi Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
Langkah itu mewajibkan platform media sosial melaksanakan mekanisme pengesahan umur bagi memastikan hanya individu berusia 16 tahun ke atas dibenarkan memiliki akaun.

Pengendali platform turut perlu bertanggungjawab
Dr Ahmad Mustaqim berkata pengendali platform juga perlu bertanggungjawab untuk memastikan kandungan yang sesuai untuk generasi muda.
"Kalau ada kandungan yang tidak senonoh dipaparkan di media sosial, ia bersifat reaktif kerana perlu ada orang melaporkannya terlebih dahulu sebelum kandungan itu diturunkan.
"Bila berbicara penyedia platform, dia kena tahu konten ini sesuai atau tidak. Ia bukan hanya tentang app developer. Ia peranan yang lebih besar seperti Google Store dan Apple Store contohnya, bagaimana mereka dapat mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan kerajaan.,” katanya lagi.

Pada 8 Februari, Kempen Internet Selamat 2026 dilancarkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil merupakan kesinambungan inisiatif KIS 1.0 yang dilaksanakan sejak tahun lepas melibatkan lebih 8,000 sekolah dan 370,000 pelajar.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberikan tumpuan kepada pendekatan mesra masyarakat dalam pelaksanaan Kempen Internet Selamat 2026 bagi memastikan mesej keselamatan digital dapat disampaikan secara lebih berkesan hingga peringkat akar umbi.
Menurut MCMC, strategi utama tahun ini beralih kepada penganjuran Karnival Komuniti pada peringkat kampung, mukim dan daerah di seluruh negara bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang santai dan interaktif.







