Laluan pejalan kaki dinaik taraf, utamakan akses transit

24 Nov 2026, 4:28 AM
Laluan pejalan kaki dinaik taraf, utamakan akses transit
Laluan pejalan kaki dinaik taraf, utamakan akses transit
Laluan pejalan kaki dinaik taraf, utamakan akses transit
Laluan pejalan kaki dinaik taraf, utamakan akses transit

SHAH ALAM, 24 NOV: Laluan pejalan kaki dinaik taraf secara berperingkat mengikut keutamaan kawasan dan keperluan pengguna bagi memastikan ketersambungan infrastruktur itu menyokong agenda mobiliti mampan dan pembangunan bandar berdaya huni.

EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata penambahbaikan itu turut mengambil kira prinsip kebolehjalanan, akses sejagat dan kesalinghubungan dengan stesen pengangkutan awam, pusat komersial, institusi pendidikan dan kemudahan awam.

“Usaha ini dapat mempertingkatkan ketersambungan laluan pejalan kaki, selaras aspirasi Pelan Induk Mobiliti Negeri Selangor yang memberi penekanan kepada mobiliti aktif dan penyelesaian ‘first mile serta last mile’.

“Pihak berkuasa tempatan digalak melaksanakan audit kebolehjalanan serta mengambil kira garis panduan bandar sihat mesra pejalan kaki dibangunkan PLANMalaysia supaya rangkaian dibangunkan lebih selamat, selesa dan saling berhubung,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata kekangan ruang dalam kawasan bandar menjadi cabaran utama pihaknya dalam menambah baik laluan pejalan kaki selain berdepan isu pengambilan rizab tanah.

Justeru, PBT mengamalkan pendekatan perancangan bersepadu dengan mengutamakan kawasan berkepadatan tinggi, koridor transit dan kawasan tumpuan awam bagi memastikan impak pelaburan dapat dimaksimumkan.

“Kerajaan Negeri turut menggalakkan penggunaan standard reka bentuk yang lebih mesra pejalan kaki, penyelarasan awal dengan agensi utiliti dan pelaksanaan pembangunan berorientasikan transit.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan laluan pejalan kaki berkualiti dan selamat serta mampu meningkatkan akses kepada pengangkutan awam, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian serta menyokong agenda bandar rendah karbon,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2027, Dato’ Menteri Besar berkata laluan pejalan kaki baharu sepanjang 35 kilometer (km) akan ditambah di seluruh negeri ini demi memudahkan akses rakyat dengan pusat utama termasuk stesen pengangkutan awam.

Jelas Dato' Seri Amirudin Shari, keputusan itu dibuat berdasarkan pandangan dikemukakan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar dari luar negara yang merasakan perlunya laluan pejalan kaki yang selamat dan selesa.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.