
SHAH ALAM, 27 JUN: Generasi Alfa membesar dalam dunia yang dikuasai teknologi, media sosial dan kecerdasan buatan (AI) sekaligus mengubah cara mereka belajar, berkomunikasi serta membina hubungan sosial.
Pakar Kaunseling, Dr Ahmad Mustaqim Yusoff berkata meskipun perubahan teknologi tidak dapat dielakkan namun ibu bapa perlu memastikan penggunaan teknologi dapat dikawal supaya tidak menjejaskan perkembangan fizikal, mental dan sosial mereka.
Menurut Pensyarah Kanan Kaunseling Taylor's University itu, perkembangan teknologi turut mengubah corak interaksi Generasi Alfa apabila komunikasi secara bersemuka semakin beralih kepada interaksi di alam maya.
"Bagi saya tiada masalah penggunaan internet , gajet dan sebagainya. Cuma perlu ditemani ibu bapa. Hubungan kita dengan anak-anak adalah hubungan sosial. Kita perlu buat screen time dengan anak-anak.
"Kalau dulu kita lebih kepada interaksi sosial secara fizikal, tetapi keadaan itu telah beralih kepada interaksi maya.
“Itulah yang menjadikan Generasi Alfa unik kerana mereka membesar dalam zaman yang penuh dengan teknologi, media sosial dan AI," katanya menerusi program Bicara Semasa bertajuk 'Membesarkan Anak Dalam Dunia Digital' terbitan Media Selangor.

Di Malaysia, sebanyak 91 peratus kanak-kanak Malaysia berusia 13 hingga 17 tahun menggunakan internet setiap hari, manakala tujuh daripada 10 pernah terdedah kepada kandungan yang mengganggu ketika melayari dunia digital.
Dalam pada itu Dr Ahmad Mustaqim berkata perkembangan teknologi turut membawa cabaran baharu apabila kanak-kanak semakin terdedah kepada media sosial pada usia muda.
Jelasnya, pendedahan berlebihan kepada media sosial boleh menjejaskan perkembangan emosi dan proses pembentukan identiti.
Ia terutamanya apabila kanak-kanak terdedah kepada buli siber, perbandingan sosial serta tekanan untuk mengikut trend semasa.
"Kanak-kanak yang terlalu banyak menerima kritikan negatif akan berasa diri mereka tidak berharga dan tidak dihargai.
"Mereka juga mudah terikut-ikut dengan trend di media sosial kerana sedang melalui fasa mencari identiti," katanya.
Justeru, beliau menegaskan ibu bapa perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memantau penggunaan gajet dan media sosial supaya anak-anak memperoleh manfaat teknologi tanpa terdedah kepada risiko dunia digital.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan sedang melaksanakan pengesahan umur pengguna media sosial secara berperingkat menerusi Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
Langkah itu mewajibkan platform media sosial melaksanakan mekanisme pengesahan umur bagi memastikan hanya individu berusia 16 tahun ke atas dibenarkan memiliki akaun.
Selain itu, Kementerian Komunikasi dan SKMM akan terus memperkukuh program literasi digital serta Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran penggunaan internet secara bertanggungjawab, di samping menggalakkan ibu bapa memantau aktiviti dalam talian anak-anak.







