Ban pecah Bukit Changgang: Kerajaan Negeri percepat kerja baik pulih, siap Januari 2027

26 Jun 2026, 3:00 AM
Ban pecah Bukit Changgang: Kerajaan Negeri percepat kerja baik pulih, siap Januari 2027
Ban pecah Bukit Changgang: Kerajaan Negeri percepat kerja baik pulih, siap Januari 2027
Ban pecah Bukit Changgang: Kerajaan Negeri percepat kerja baik pulih, siap Januari 2027

SHAH ALAM, 26 JUN: Kerajaan Negeri mengarahkan kerja baik pulih segera dilakukan di lokasi rebakan Sungai Langat di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang bagi mengelakkan keadaan banjir menjadi lebih buruk.

EXCO Infrastruktur Datuk Ir Izham Hashim berkata hasil tinjauan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) semalam mendapati rebakan berlaku sepanjang kira-kira 50 meter di ban Sungai Langat yang sedang menjalani kerja pengukuhan.

Beliau berkata pihaknya mengarahkan bahagian ban yang pecah ditutup terlebih dahulu menggunakan tanah dan batu sebelum diperkukuh dengan pemasangan sheet pile bagi menahan arus sungai.

"Saya telah arahkan untuk menutup bahagian yang pecah itu dahulu dengan tanah dan batu, kemudian ditambah dengan sheet pile di bahagian hadapan untuk melindungi daripada arus.

"Kemudian kita akan memasang panel-panel SPS yang telah tiba hari ini, sebelum kerja mengisi semula tanah di bahagian belakang (backfill) dilaksanakan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Izham berkata isu pengukuhan ban Sungai Langat itu sememangnya diberi perhatian serius oleh Kerajaan Negeri memandangkan ia penting dalam usaha mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.

Menurutnya, projek pengukuhan ban itu dijadualkan siap pada Januari tahun depan dengan kos RM4 juta, yang merupakan sebahagian daripada peruntukan RM7.7 juta diluluskan Kerajaan Negeri bagi kerja-kerja berkaitan di kawasan berkenaan termasuk Kuala Selangor.

Kelmarin, banjir melanda Kampung RTB Bukit Changgang selepas berlaku rebakan di ban Sungai Langat, menyebabkan ratusan penduduk terjejas dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.