SHAH ALAM, 25 JUN: Kerajaan Selangor memperuntukkan lebih RM160 juta bagi memperkukuhkan pelaksanaan inisiatif kebajikan di negeri ini.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata program kebajikan berkenaan melibatkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Skim Mesra Usia Emas dan MamaKerja bagi memastikan bantuan disampaikan kepada mereka yang memerlukan.
“Selain itu, inisiatif lain seperti Bantuan Rahmah Insan Istimewa Selangor (BRAIS), bantuan peralatan penjagaan serta pelbagai program pemberdayaan masyarakat yang lain turut diperkukuhkan.
“Tiada siapa yang sepatutnya tercicir. Kita akan terus berusaha memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” kongsinya di Facebook.
Menurutnya lagi, sebanyak 18,146 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin direkodkan di Selangor mengikut data Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) hingga 15 April.
Justeru, Anfaal memaklumkan Kerajaan Selangor mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh melalui pemberian Baucar Kita Selangor (BKS) dengan menyediakan bantuan kepada 50,000 penerima, jauh melebihi jumlah KIR miskin yang direkodkan.
“Namun realitinya, cabaran ekonomi hari ini turut memberi kesan kepada ramai lagi golongan rentan termasuk ibu tunggal, mereka yang kehilangan pekerjaan dan keluarga yang berdepan tekanan kos sara hidup.
“Bagi kita, ia mungkin sekadar angka dan statistik. Tetapi di sebalik setiap angka itu, ada keluarga yang sedang berjuang setiap hari untuk memastikan keperluan asas mencukupi dan masa depan anak-anak terus terjaga.
“BKS bukan sekadar bantuan jangka pendek tetapi sebahagian daripada respon pantas Kerajaan Negeri untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat sokongan ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi,” ujarnya.







