SHAH ALAM, 25 JUN: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menyita sebuah gerai pisang goreng yang dikendalikan warga asing kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen di Jalan Aman Tiara 4, Bandar Tropicana Aman, di sini semalam.
MPKL memaklumkan tindakan itu diambil menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaan selepas pemeriksaan mendapati penjaja terbabit tidak memiliki lesen sah untuk berniaga.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, perbuatan berkenaan merupakan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Penjaja MDKL 2007 kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen atau kebenaran daripada MPKL.
"Sehubungan itu, tindakan sitaan telah diambil di bawah Undang-Undang Kecil 42(1), Undang-Undang Kecil Penjaja MDKL 2007 melibatkan barangan yang digunakan bagi tujuan perniagaan di lokasi berkenaan," menurut MPKL dalam kenyataan di Facebook.
MPKL menegaskan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.







