Pakej Daya Tahan Selangor pertahan ekonomi negeri, bantu kelompok terjejas

24 Jun 2026, 4:02 AM
Pakej Daya Tahan Selangor pertahan ekonomi negeri, bantu kelompok terjejas
Pakej Daya Tahan Selangor pertahan ekonomi negeri, bantu kelompok terjejas

SHAH ALAM, 24 JUN: Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dan Fasa 2 diperkenalkan bagi mempertahankan struktur ekonomi negeri serta membantu rakyat dan sektor terjejas susulan krisis di Asia Barat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketidaktentuan geopolitik yang berterusan dijangka memberi kesan kepada bekalan bahan mentah dan perkhidmatan yang cukup signifikan terhadap struktur ekonomi negeri.

“Ketidaktentuan ini dijangka akan berlanjutan paling awal sampai bulan November tetapi ramai yang menjangkakan mungkin akan berlarutan hingga Disember.

“Justeru, Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih kurang RM140 juta untuk Fasa Pertama diikuti Fasa Kedua lebih RM200 juta dalam usaha untuk kita memperkasakan rakyat di saat berdepan dengan ketidaktentuan ini,” katanya dalam program temu bual bersama Selangor FM.

Menurut Amirudin, pembentangan pakej tersebut juga bertujuan menyerap tekanan kesan gangguan bekalan tenaga yang masih berlaku di peringkat global.

“Jadi, Kerajaan Negeri mengemukakan RM20 juta untuk program upskilling dan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Selain itu, inisiatif menyokong mereka yang berdepan dengan kehilangan atau kekurangan gaji dalam pekerjaan boleh menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Antara yang lain, peruntukan besar RM6 juta untuk sektor agrotani dan selebihnya ada lebih kurang RM10 juta hingga RM15 juta negeri kemukakan untuk sektor-sektor lain khususnya untuk industri kecil serta sederhana,” ujarnya.

Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM355.06 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dan Fasa 2 bagi mendepani kesan krisis bekalan susulan konflik di Asia Barat.

Daripada jumlah itu, RM145.8 juta diperuntukkan bagi Fasa 1 yang sedang dilaksanakan menerusi tujuh inisiatif, manakala RM209.26 juta lagi disalurkan untuk Fasa 2 yang merangkumi 15 inisiatif baharu.

Fasa kedua pakej berkenaan diumumkan Amirudin pada 19 Jun lalu sebagai langkah tambahan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dan membantu rakyat menghadapi cabaran semasa.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.