SHAH ALAM, 24 JUN: Kebocoran tangki simpanan minyak di sebuah bengkel motosikal dipercayai menjadi punca pencemaran Sungai Salak, Gombak sehingga mencetuskan pengaktifan Kod Kuning oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), petang semalam.
Menurut LUAS, kejadian itu dikesan selepas terdapat bau abnormal di sungai berkenaan sekitar jam 2 petang yang berpotensi memberi kesan kepada operasi muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Wangsa Maju.
Susulan itu, pasukan pemantauan menjalankan pemeriksaan segera di kawasan terlibat dan menemukan kesan minyak di tebing Sungai Salak.
“Hasil siasatan lanjut menemukan sebuah bengkel motosikal disyaki melepaskan aliran bahan pencemar tersebut.
“Semakan lanjut di permis terlibat mendapati terdapat sebuah tangki simpanan minyak telah bocor sehingga menyebabkan aliran tersebut mengalir ke Sungai Salak,” katanya menerusi kenyataan.

Bagi mengelakkan pencemaran merebak, LUAS memasang satu unit oil boom dan enam keping oil pad untuk memerangkap serta menyerap sisa minyak di permukaan air.
Pada masa sama, agensi itu turut mengarahkan pemilik premis menghentikan pelepasan terbabit serta-merta dan melaksanakan kerja pembersihan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999.
"Pensampelan dilakukan oleh LUAS di lokasi-lokasi terlibat di kawasan premis dan sungai serta telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut.
"Kertas Siasatan dibuka di bawah Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999 bagi kesalahan mencemarkan sumber air," katanya.
Sehingga jam 6 petang semalam, premis terbabit dilaporkan telah mengambil langkah kawalan awal dengan menabur pasir di kawasan tumpahan minyak bagi menghalang pergerakan bahan pencemar.
"Semakan LUAS di muka sauk LRA mengesahkan tiada sebarang kesan minyak ditemukan. Pemantauan LUAS juga mendapati tiada lagi bau abnormal dikesan di Sungai Salak serta keadaan sungai adalah normal," katanya.
Bagaimanapun, LUAS menegaskan pemantauan berkala akan diteruskan bagi memastikan insiden itu tidak berulang serta menjamin keselamatan sumber air di kawasan berkenaan.







